AM

PM Anwar Mahu Ramadan Jadi Momentum Angkat Martabat Rakyat Terpinggir

27/02/2026 05:24 PM

KAJANG, 27 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh lapisan kepimpinan masyarakat dan jentera kerajaan supaya memanfaatkan bulan Ramadan ini bagi menyantuni golongan rakyat yang masih terpinggir daripada arus pembangunan.

Beliau berkata meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelarasan gaji, masih terdapat kelompok kecil masyarakat yang tidak mendapat manfaat sepenuhnya bantuan itu.

“Kita jarang bicara soal mereka dan kita di semua peringkat agak sibuk dalam urusan masing-masing. Jadi saya nak ambil kesempatan ini menyeru semua jawatankuasa masjid, surau, guru besar, pengetua, ketua kampung serta pemimpin belia untuk tingkatkan amal kebajikan kita.

“Jadikan Ramadan ini satu kesempatan untuk kita mengangkat martabat semua lapisan masyarakat dengan meringankan beban mereka,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Pekan Kajang yang dihadiri kira-kira 2,000 jemaah hari ini.

Anwar berkata bulan Ramadan seharusnya dijadikan peluang terbaik untuk meringankan beban rakyat dengan mengenal pasti individu, warga emas atau pesakit di setiap pelosok kampung yang memerlukan bantuan segera.

Perdana Menteri turut mengharapkan kerjasama padu daripada jentera kerajaan, sektor swasta serta rakyat bagi memastikan matlamat tersebut tercapai.

"Cita-cita saya kalau boleh, ini Ramadan dan Aidilfitri pertama yang benar-benar boleh melegakan rakyat di semua peringkat,” katanya.

Terdahulu, ketibaan Anwar kira-kira 1.30 tengah hari disambut Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan serta kariah masjid berkenaan.

Khutbah Jumaat bertajuk 'Tunaikan Zakat Fitrah' disampaikan Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat Hazman Che Mohamad disusuli solat Jumaat dipimpin oleh Ustaz Arif Aiman dari Pejabat Agama Hulu Langat.

Kandungan khutbah itu antara lain mengingatkan umat Islam agar menyegerakan kewajipan pembayaran zakat fitrah yang mesti ditunaikan pada bulan Ramadan.

Selesai solat, jemaah di masjid berkenaan tidak melepaskan peluang bersalaman dan berswafoto dengan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan