EKONOMI

Momentum Perdagangan Malaysia Dijangka Kekal Pada 2026 - Apex Securities

23/02/2026 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Apex Securities Bhd mengekalkan pendirian optomistiknya yang berhati-hati mengenai tinjauan perdagangan Malaysia, dan percaya bahawa momentum perdagangan akan berterusan selepas cetakan eksport yang kukuh pada Januari. 

Dalam satu kenyataan hari ini, firma itu berkata prospek itu disokong oleh latar pertumbuhan global yang stabil, permintaan Amerika Syarikat yang berdaya saing dan pertumbuhan semikonduktor global yang kukuh di tengah-tengah kitaran peningkatan teknologi yang dipacu kecerdasan buatan. 

“Bagaimanapun, lonjakan eksport baru-baru ini mungkin sebahagiannya mencerminkan kesan asas rendah, dengan pertumbuhan berkemungkinan sederhana pada separuh kedua 2026 apabila asas yang lebih tinggi tahun lepas bermula. 

“Tambahan pula, keadaan perdagangan global kekal tidak menentu, dengan perkembangan tarif, ketegangan geopolitik dan ringgit yang lebih kukuh menimbulkan ketidakpastian kepada prospek,” katanya. 

Oleh itu, Apex Securities mengekalkan ramalan pertumbuhan eksport 2026 pada 4.8 peratus tahun ke tahun dan ramalan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2026 pada 4.7 peratus ketika ini, sementara menunggu penjelasan mengenai perkembangan tarif.  

“Mengenai monetari, kami tidak melihat sebarang desakan untuk Bank Negara Malaysia (BNM) melaraskan kadar dasar di tengah-tengah dinamik perdagangan yang masih tidak menentu, dengan BNM berkemungkinan mengekalkan pendekatan tunggu dan lihat,” tambahnya. 

Selain itu, Apex Securities melihat kelembapan import barangan modal (+2.3 peratus tahun ke tahun; Dis: +27.1 peratus) sebagai rehat sementara, dengan pelancaran infrastruktur dan pengembangan pusat data mengekalkan momentum pelaburan yang kukuh pada 2026. 

“Kami meramalkan pertumbuhan KDNK pelaburan yang stabil sebanyak 9.3 peratus tahun ke tahun pada 2026,” katanya. 

Sementara itu, Apex Securities menjangkakan turun naik bersela selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenakan tarif global sebanyak 15 peratus selama 150 hari, apabila terma perdagangan dirundingkan semula dan laluan tarif alternatif diaktifkan. 

“Di peringkat domestik, tarif semikonduktor berpotensi kekal sebagai risiko utama bagi Malaysia, terutamanya apabila pentadbiran Trump beralih ke arah laluan tarif alternatif. 

“Kadar 15 peratus itu lebih rendah sedikit daripada tarif timbal balas Malaysia sebelum ini, iaitu 19 peratus. 

“Bagaimanapun, pentadbiran itu telah menyatakan bahawa ia akan menggunakan tempoh 150 hari untuk mengeluarkan tarif ‘yang dibenarkan secara sah’ yang lain,” katanya.

Menurut firma itu, satu pilihan yang mungkin adalah untuk meneruskan Seksyen 301 Akta Perdagangan AS secara serentak sebagai penggalak rundingan, walaupun ia memerlukan proses siasatan Wakil Perdagangan AS (USTR) yang panjang, ia tidak mempunyai had ke atas kadar tarif dan membenarkan langkah-langkah untuk dikekalkan sehingga selama empat tahun. 

“AS mengekalkan pengaruh yang mencukupi untuk memberi tekanan kepada rakan dagang dalam perjanjian perdagangan yang sama dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) bagi mengelakkan berlaku semula ketegangan perdagangan. 

“Oleh itu, kami tidak menjangkakan keputusan itu akan mengubah landskap perdagangan global secara material,” katanya. 

Terdahulu, Trump dilaporkan berkata bahawa beliau akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus, berikutan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan kebanyakan langkah perdagangannya sebelum ini. 

Dalam satu catatan di Truth Social pada Sabtu, beliau berkata kenaikan itu, yang akan dilaksanakan di bawah Seksyen 122, akan berkuat kuasa serta-merta dan akan melebihi tarif sedia ada.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan