AM

Penjawat Awam Perak Terima 'Duit Raya' RM1,500

23/02/2026 09:50 PM

IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri yang akan disalurkan pada 16 Mac ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pemberian itu turut melibatkan guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ), pekerja sambilan harian serta pegawai di bawah Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP).

“Pemberian BKK Aidilfitri sebanyak RM500 turut diberikan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar bersama Penjawat Awam Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini, malam ini.

Beliau berkata pemberian BKK Aidilfitri itu membabitkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM16.9 juta kepada kerajaan negeri.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, Saarani berharap semua penjawat awam negeri terus mengekalkan tahap profesionalisme dan produktiviti serta tidak menjadikan Ramadan sebagai alasan untuk menangguhkan sebarang tugas yang diamanahkan.

Katanya semangat berpuasa seharusnya menjadi pemangkin untuk bekerja dengan lebih tekun kerana mencari rezeki yang halal adalah sebahagian daripada tuntutan agama.

“Ramadan bukan alasan untuk kita mengurangkan produktiviti. Jangan jadikan lapar dan dahaga sebagai sebab fail tidak bergerak atau keputusan tertangguh. Tugas kita tetap amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan