KUALA TERENGGANU, 22 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu yang disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan pada 11.15 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2018 dan 2020.
“Suspek, yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai Exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial