SUKAN

PLBM Mahu Standard Gelanggang Mudah Alih Kekal Menjelang Glasgow 2026

21/02/2026 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) berharap kemudahan gelanggang mudah alih digunakan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara terus dikendalikan kontraktor sama apabila dipindahkan ke venue baharu pada Mei ini.

Presidennya Datuk Awalan Abdul Aziz berkata kemudahan itu yang diperoleh daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sejak penganjuran Piala Dunia tahun lepas terbukti menjadi medan terbaik kepada atlet negara membuat persediaan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

“Sebagaimana kita maklum, gelanggang mudah alih ini diperoleh daripada PSM ketika Piala Dunia berlangsung di Stadium Juara. Namun stadium itu bukan milik kita dan kemudahan tersebut perlu dipindahkan ke lokasi lain.

“Penggunaan kontraktor sama amat penting bagi memastikan kualiti permukaan dan spesifikasi teknikal gelanggang kekal konsisten, khususnya sebagai persediaan sebelum berangkat ke Glasgow.

“Ini kerana kejohanan itu akan menggunakan gelanggang mudah alih dengan material permukaan dan spesifikasi yang sama. Jadi ia amat penting untuk kita,” katanya.

Awalan yang berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja di Bukit Jalil, semalam berkata mengikut perancangan, atlet akan kembali berlatih pada minggu hadapan sehingga hari raya. 

Beliau berkata PSM akan memindahkan gelanggang mudah alih itu ke lokasi baharu yang belum dimuktamadkan, manakala atlet akan berlatih di gelanggang biasa di Bukit Kiara buat sementara waktu.

Skuad negara dijadualkan menyertai Kejohanan Boling Padang Asia di New Delhi, India pada April yang menggunakan gelanggang luar berkarpet, justeru latihan disesuaikan dengan permukaan kejohanan yang bakal dihadapi.

Selain itu, beliau berkata pasukan kebangsaan akan berlepas ke Scotland lebih awal untuk menyertai kejohanan Four Nation Test Series susulan gelanggang mudah alih dijangka belum siap dipindahkan ketika itu.

“Kita telah membuat keputusan dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju untuk kita berangkat seminggu lebih awal. Selepas tamat siri itu dan gelanggang mudah alih siap dipindahkan, skuad akan kembali menjalani latihan di situ sehingga menjelang Sukan Komanwel,” katanya.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan