AM

‘Duit Duyong’ Edisi Terhad Sempena Tahun Baharu Cina Jadi Simbol Perpaduan

18/02/2026 07:36 PM

MELAKA, 18 Feb (Bernama) -- Inisiatif memperkenalkan fantasy note atau "Duit Duyong" edisi terhad sempena Tahun Baharu Cina bukan sekadar berfungsi sebagai cenderamata sebaliknya menjadi simbol keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Ahli DUN (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata sempena Tahun Kuda pada tahun ini, sebanyak 2,000 keping nota koleksi itu dicetak secara edisi terhad dengan nombor siri bermula YB8888001.

Beliau berkata inisiatif itu juga adalah kesinambungan usaha yang dilaksanakan sejak tahun 2024 bagi menghargai masyarakat yang menyambut perayaan tersebut di kawasan diwakilinya.

“Pada 2024, kita memperkenalkan cenderamata seperti syiling emas dan tahun lepas pula kita beri kad ucapan kaligrafi Tahun Baharu.

"Tahun ini, kita tampil dengan nota koleksi sebagai simbol bagi memeriahkan lagi suasana perayaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Duyong,” katanya kepada Bernama.

Mohd Noor Helmy berkata beliau turut membuat bidaan bagi nombor siri istimewa YB8888888 yang berjaya diperoleh pada harga RM4,000 menerusi platform Facebook, dan hasil itu akan disumbang kepada Rumah Villa Harapan untuk tujuan kebajikan.

Beliau berkata reka bentuk nota berwarna merah itu bertemakan kemeriahan Tahun Baharu dengan elemen Tahun Kuda serta menggabungkan identiti tempatan Duyong selain mengekalkan ciri keselamatan yang boleh dilihat menggunakan sinaran ultraungu manakala material digunakan hampir menyerupai tekstur wang kertas sebenar namun tidak mempunyai nilai sah dan hanya berfungsi sebagai bahan koleksi.

"Sebahagian nota berkenaan turut dihantar ke Perkhidmatan Penggredan Syiling Profesional (PCGS) di Amerika Syarikat bagi proses pengesahan dan penarafan," katanya.

Antara ciri lain pada nota itu ialah imej berlatarbelakangkan Muzium Hang Tuah serta potret beliau, unsur yin dan yang, bunga kebangsaan, tanglung, kuda selain frasa ucapan Tahun Baharu.

Angka “88” yang tertera pada nota berkenaan turut menjadi simbolik kerana dianggap membawa tuah dalam kepercayaan masyarakat Cina.

Mohd Noor Helmy berkata inisiatif itu juga diharap menyemarakkan semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam kalangan penduduk setempat.

-- BERNAMA  

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan