KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berkongsi pandangan mengenai keharmonian dan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia yang menjadikannya berbeza dengan negara lain menerusi penulisan blog yang terbaharu hari ini.
Dalam artikel bertajuk "Apa Yang Membuatkan Malaysia Berbeza? Dan Mengapa Kita Perlu Berbangga Dengan Iklan TV Perayaan Malaysia", Raja Zarith Sofiah menceritakan mengenai keharmonian rakyat Malaysia yang hidup bersama tanpa mengira kaum atau agama yang diperhatikan Seri Paduka Baginda apabila melawat dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara hari ini.
“Di jalan-jalan sekitar kedua-dua kawasan perumahan ini, terdapat rumah-rumah yang dihiasi dengan tanglung Cina manakala rumah di sebelahnya tiada hiasan langsung.
“Tetapi kita sudah begitu terbiasa dengan simbol-simbol perayaan berbeza yang disambut ini sehinggakan kita tidak menganggap ia suatu fenomena yang asing mahupun janggal,” titah Raja Zarith Sofiah.
Raja Permaisuri Agong bertitah semasa bersalaman dengan penyewa dan keluarga yang tinggal di flat yang dilawati hari ini, ada di antara mereka mengucapkan “Xin Nian Kuai Le” (Selamat Tahun Baharu) kepada Seri Paduka Baginda manakala yang lain menyapa dengan “Assalamualaikum”.
“Kita kadangkala terlalu sibuk melihat negara lain dan pencapaian mereka, sehingga kita lupa akan keistimewaan tanah air kita bahawa kita mempunyai keharmonian dan perpaduan yang ikhlas di sini.
“Kita mungkin tidak mempunyai tentera terbesar, atau bandar-bandar penuh pencakar langit (selain Kuala Lumpur), tetapi kita mempunyai senyuman paling manis dan hati yang penuh dengan toleransi dan rasa hormat antara satu sama lain, tanpa mengira kepercayaan atau etnik kita,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah turut berkenan menzahirkan ucapan Salam Ramadan dan selamat berpuasa kepada saudara sesama Islam serta mengucapkan selamat bergembira bersama keluarga dan rakan-rakan bagi rakyat Malaysia yang menyambut Tahun Baharu Cina.
Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan pandangan mengenai iklan perayaan di televisyen di Malaysia yang memaparkan pelbagai perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali serta sering dinantikan setiap tahun oleh rakyat negara ini.
“Apabila bercuti di negara Barat pada penghujung tahun, satu-satunya iklan perayaan di televisyen adalah untuk sambutan Krismas. Biarpun di negara tertentu lain yang mempunyai pelbagai komuniti etnik berbeza, tiada iklan yang khusus untuk perayaan yang disambut oleh komuniti berkenaan,” titah Seri Paduka Baginda.
Selain itu, Raja Zarith Sofiah bertitah menerusi video-video di YouTube mengenai pelancong dan komuniti ekspatriat yang tiba di Kuala Lumpur pada akhir tahun lalu yang Seri Paduka Baginda tonton, terdapat pelancong dari Amerika Syarikat, United Kingdom atau negara-negara Eropah lain kelihatan terkejut dan gembira melihat pusat beli-belah di Malaysia dipenuhi dengan hiasan Krismas.
“Seorang dua daripada mereka yang melawat Malaysia buat kali pertama menyatakan bahawa mereka telah diberitahu supaya berhati-hati di negara ini kerana majoriti rakyat kita adalah beragama Islam.
“Namun rakaman mereka memaparkan pembeli tempatan, yang sesetengahnya bertudung, sedang sibuk membeli-belah dan berbual, dan langsung tidak janggal dengan pemandangan lampu pokok Krismas yang berkelip atau rumah gingerbread serta kotak-kotak hadiah Krismas berwarna merah dan hijau,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong bertitah komen-komen oleh pelancong memberi kesedaran bahawa rakyat Malaysia telah biasa dengan perbezaan etnik dan kepercayaan sehingga tidak mempersoal atau terasa hati dengan hiasan serta lagu Krismas yang berkumandang dan kini hiasan dan lagu Tahun Baharu Cina pula memenuhi pusat beli-belah di negara ini ketika ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial