KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Perkahwinan lazimnya diraikan mengikut tradisi masing-masing, namun lima pasangan berbeza latar belakang memilih pendekatan luar biasa apabila menyatukan cinta mereka di pentas Festival Mahligai Harmoni Parlimen Bandar Tun Razak yang meraikan kepelbagaian budaya.
Ken Ong, 60, berkata penyertaan beliau dan isterinya Joyce Au, 54, dalam festival itu bukan sekadar meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, malah sebagai simbol sokongan terhadap perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Saya dan isteri sebenarnya merancang untuk meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-28 ketika kami dijemput oleh rakan-rakan untuk menyertai festival ini.
“Kami fikir mengapa tidak sokong? (menyertainya) selain dapat “berkahwin semula”, kami juga boleh bantu memperkukuhkan perpaduan negara,” katanya yang menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang baharu dan mengujakan.
Walaupun mengakui terdapat cabaran kerana pertama kali menyertai acara seumpama itu, beliau berkata pengalaman tersebut amat berbaloi, lebih-lebih lagi apabila isterinya membuat persiapan rapi termasuk menyediakan sendiri pakaian untuk majlis berkenaan.
Sementara itu, Muhammad Hamizan Hasrul Nizam, 19, yang menyertai bersama pasangannya Idla Ilyana Idris, 22, berkata perkahwinan secara beramai-ramai di atas satu pentas memberi kelainan berbanding majlis konvensional.
“Biasanya satu pasangan satu majlis, tapi bila ramai-ramai macam ini, rasa lain dan seronok. Kita dapat tengok budaya perkahwinan kaum lain, daripada persediaan makanan hingga kepada persalinan,” katanya.
Bagi pasangan berbangsa India dari Selayang, Vimalan Velayutham, 32, dan Kumarivalli Mariappan, 31, mereka menyifatkan program seperti itu wajar diperluaskan kerana mampu menyatukan masyarakat dalam suasana penuh kegembiraan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man yang merasmikan festival berkenaan berkata program itu bertepatan dengan realiti masyarakat majmuk negara ini kerana bukan sekadar memaparkan warisan budaya, malah menjadi simbol penyatuan rakyat.
“Melalui pendedahan kepada adat dan tradisi pelbagai kaum, kita dapat memupuk rasa saling memahami dan menghormati.
“Ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan perterjemahan nilai perpaduan melalui tindakan, termasuk penganjuran program berasaskan budaya yang mampu mendekatkan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Chiew berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa depan dengan skala lebih besar serta menjadi platform mendidik generasi muda agar terus menghargai kepelbagaian budaya.
Festival Mahligai Harmoni yang bertemakan “Perpaduan Melalui Tradisi” itu dianjurkan oleh Pertubuhan Sukarelawan Komuniti Harapan Malaysia (HARAP) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan pelbagai agensi kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial