ISTANBUL, 14 Feb (Bernama-Anadolu) -- Kremlin memaklumkan pada Jumaat bahawa pusingan seterusnya bagi rundingan damai antara Rusia dan Ukraine akan diadakan dari 17 hingga 18 Feb di Geneva, Switzerland, lapor Anadolu Ajansi.
“Pusingan rundingan seterusnya mengenai penyelesaian isu Ukraine juga akan berlangsung dalam format tiga pihak ... dari 17 hingga 18 Februari di Geneva,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada pemberita semasa taklimat akhbar.
Beliau berkata delegasi Rusia pada rundingan akan datang itu akan diketuai oleh pembantu presiden, Vladimir Medinsky.
Terdahulu pada Jumaat, Peskov mengesahkan bahawa persetujuan telah dicapai untuk mengadakan pusingan rundingan damai seterusnya pada "minggu depan," namun tidak memberikan butiran lanjut.
Rusia dan Ukraine telah mengadakan dua pusingan rundingan damai yang diusahakan oleh Amerika Syarikat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Januari dan awal bulan ini.
Hasil daripada rundingan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan pertukaran tawanan perang yang pertama dalam tempoh lima bulan.
Perbincangan mengenai pusingan baharu rundingan telah menyusul sejak sesi terakhir pada 4 dan 5 Feb, dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menyatakan ia dijangka berlangsung dari 17 hingga 18 Feb dalam kenyataannya kepada Bloomberg News yang diterbitkan pada Rabu.
Pihak berkuasa AS belum memberikan sebarang ulasan mengenai kenyataan Peskov, walaupun penasihat komunikasi Zelenskyy, Dmytro Lytvyn turut mengesahkan tarikh dan lokasi rundingan itu dalam kenyataannya kepada saluran media Ukraine, termasuk agensi berita rasmi Ukrinform.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial