AM

10 Panduan Perjalanan Pada Musim Perayaan: Panduan Tanpa Tekanan

12/02/2026 09:45 AM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Musim perayaan yang dinanti-nanti tiba lagi! lapangan terbang di seluruh Malaysia kini dipenuhi suasana ceria apabila keluarga berkumpul semula serta rakan-rakan memulakan percutian yang dinanti-nantikan.

Inilah masanya momen-momen bermakna tercipta, namun ia juga kemuncak kesibukan perjalanan dengan terminal yang sesak dan pemeriksaan keselamatan yang teliti boleh mengubah kegembiraan menjadi keresahan sekiranya anda tidak membuat persiapan rapi.

Tahun ini, arus perjalanan musim perayaan dirasakan lebih rancak dengan sambutan berturut-turut bermula dengan keriangan Tahun Baru Cina disusuli pula dengan perjalanan balik menjelang Ramadan, dan ramai sudah mula pulang ke kampung halaman lebih awal untuk bersama insan tersayang, menjadikan perancangan perjalanan yang bijak sebagai kunci utama untuk pengalaman yang lebih lancar dan selesa.

Jadi, bagaimanakah untuk menjadikan perjalanan anda di musim meriah ini lebih teratur dan menyeronokkan? Ikuti lengkap daripada Malaysia Airports "10 tip perlu dan "jangan" untuk anda kekalkan senyuman, elakkan stres dan nikmati setiap saat perjalanan anda!

Lima Perkara Yang Perlu Dilakukan  

1. Peruntukkan Masa Yang Mencukupi untuk Pengalaman Lapangan Terbang yang Selesa

Dengan peningkatan jumlah penumpang sepanjang musim perayaan, beberapa proses mungkin mengambil masa yang lebih lama. Penumpang dinasihatkan untuk tiba lebih awal di lapangan terbang bagi melalui proses daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan menaiki pesawat tanpa tergesa-gesa. Daftar masuk dalam talian, jika disediakan oleh syarikat penerbangan, juga boleh membantu melancarkan perjalanan.

2. Sentiasa Kemas Kini Maklumat Penerbangan Anda

Jadual penerbangan boleh berubah pada bila-bila masa. Muat turun aplikasi MYAirports atau aplikasi syarikat penerbangan anda untuk mendapatkan maklumat terkini secara masa nyata. Tiada kejutan, hanya perjalanan yang lebih lancar di terminal.

3. Simpan Dokumen Penting di Tempat yang Mudah Dicapai

Pasport, pas masuk dan dokumen pengenalan diri hendaklah sentiasa berada dalam capaian mudah. Akses pantas bermakna pemeriksaan lebih cepat dan barisan yang lebih singkat.

4. Patuhi Arahan Keselamatan dengan Teliti Pemeriksaan keselamatan dilaksanakan demi keselamatan semua, maka dengarkan arahan daripada petugas lapangan terbang serta berikan kerjasama sepenuhnya agar dengan sedikit kesabaran dapat mempercepatkan proses untuk semua pihak.

5. Kemas Barang dengan Bijak dan Ringkas

Ketahui peraturan berkaitan cecair dan barangan larangan. Mengemas secara ringkas dapat mengelakkan masalah semasa pemeriksaan keselamatan. Beg yang disusun kemas bermakna kurang kerumitan dan lebih keceriaan semasa percutian.

Lima Perkara Yang Tidak Perlu Dilakukan

1. Jangan Bergurau Tentang Keselamatan atau Ancaman

Lapangan terbang merupakan kawasan keselamatan tinggi, di mana gurauan mengenai bom, ancaman atau perbuatan berbahaya akan diambil serius kerana bukan sahaja boleh menjejaskan orang lain malah perjalanan anda sendiri boleh tergendala sepenuhnya dan berisiko ditahan pihak berkuasa. Satu kata-kata tidak bertanggungjawab boleh menukar percutian menjadi mimpi ngeri.

2. Jangan Membawa Barangan Larangan

Elakkan membawa barangan yang dilarang atau terhad. Barangan ini boleh dirampas semasa pemeriksaan, menyebabkan kelewatan dan menjejaskan rancangan perjalanan anda. Mengemas dengan bijak supaya percutian anda bermula tanpa sebarang halangan.

3. Jangan Tinggalkan Beg Tanpa Pengawasan

Meninggalkan bagasi tanpa pengawasan boleh mencetuskan amaran keselamatan dan kekecohan di terminal, dan pastikan beg anda sentiasa bersama anda kerana hadiah percutian anda pasti tidak mahu menjadi tumpuan pasukan keselamatan lapangan terbang.

4. Jangan Abaikan Pengumuman Rasmi

Pengumuman di lapangan terbang bukan sekadar bunyi latar. Ia penting untuk maklumat seperti perubahan pintu masuk, kelewatan penerbangan dan pengumuman penting lain. Ambil perhatian, dan anda pasti berterima kasih kepada diri sendiri kemudian.

5. Jangan Biarkan Kelewatan Meningkatkan Tekanan

Kelewatan boleh berlaku, terutamanya ketika musim perjalanan yang sibuk. Ambil masa untuk berehat, nikmati suasana perayaan dan kekalkan semangat percutian.

Tanggungjawab Bersama

Perjalanan yang selamat dan lancar adalah tanggungjawab bersama, dan dengan sentiasa peka, bertimbang rasa serta mengambil berat terhadap aspek keselamatan lapangan terbang, para penumpang bukan sahaja melindungi perjalanan sendiri malah turut menyumbang kepada pengalaman perjalanan yang positif untuk semua.

Malaysia Airports kekal komited dalam menyediakan persekitaran yang selamat, cekap dan mesra kepada setiap penumpang dan sepanjang musim perayaan ini, para pelancong digalakkan untuk mematuhi garis panduan rasmi, sentiasa berwaspada serta memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keselamatan bersama di lapangan terbang.

Untuk maklumat terkini perjalanan dan info lapangan terbang, penumpang boleh merujuk kepada saluran rasmi media sosial Malaysia Airports dan aplikasi MYAirports.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan