ALOR SETAR, 11 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) dan sebuah vesel nelayan asing (VNA) yang disyaki melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal (STS) di perairan Langkawi, semalam.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata kedua-dua vesel tersebut ditahan pada kedudukan kira-kira 4.5 batu nautika barat laut Tanjung Chinchin pada 9 malam.
Beliau berkata dua tekong dan empat kru warga Thailand berumur antara 29 hingga 59 tahun turut ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perikanan 1985, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kastam 1967.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan lebih RM600,000 dan vesel berserta barang kes serta kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Romli berkata orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, untuk tindakan segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial