TANJONG MALIM, 11 Feb (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI di Perak mencatat nilai jualan sebanyak RM7 juta sepanjang tahun lepas.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata sebanyak 285 program telah dilaksanakan di seluruh negeri sepanjang tempoh berkenaan.
"Pada tahun ini, FAMA bercadang untuk pertambahan program tersebut kira-kira 20 peratus sebagai usaha berterusan membantu rakyat mendapat bekalan makanan asas pada harga berpatutan," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Agro MADANI di Medan Agrobazaar Tol Lama Slim River di sini, hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata Program Jualan Agro MADANI di Medan Agrobazaar Tol Lama yang mula beroperasi Februari tahun lepas merekodkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM328,707 setakat Januari tahun ini.
Beliau berkata Medan Agrobazaar Tol Lama Slim River yang terletak di tapak bekas Plaza Tol Slim River, iaitu tol pertama di negara ini yang mula beroperasi pada 1966 sebelum dimansuhkan pada 1994 merupakan kawasan berpotensi tinggi sebagai pusat aktiviti ekonomi setempat dan pemangkin pembangunan komuniti tani.
"Kedudukannya yang strategik di laluan utama, berhampiran dengan pelbagai kemudahan awam termasuk beberapa institusi pengajian tinggi menjadikan Medan Agrobazaar Tol Lama Slim River sebagai lokasi tumpuan penduduk setempat, pelajar serta pengguna di luar kawasan," katanya.
Terdahulu, Aminuddin dalam ucapannya berkata FAMA akan terus komited untuk memperluas pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI secara berfokus dan bersasar, memperkasakan peranan Medan Agrobazaar sebagai tumpuan utama pemasaran agromakanan tempatan.
"Usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab FAMA dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara serta kesejahteraan rakyat secara berterusan, seterusnya dapat menyokong pembangunan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berorientasikan pasaran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial