SUKAN

ACLE: JDT Tewas 1-2 Di Hiroshima

10/02/2026 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Peluang Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 semakin sukar apabila tewas 2-1 kepada kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima, pada aksi Kumpulan A di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan kekal di tangga keenam carta Kumpulan Zon Timur dengan lapan mata, manakala Sanfrecce melonjak ke kedudukan ketiga dengan 14 mata.

Dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan tuan rumah lebih menguasai permainan, anak buah Xisco Munoz bagaimanapun mencuri tumpuan apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Marcos Guilherme yang tenang menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan.

Namun, situasi perlawanan berubah apabila JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jonathan Silva dilayangkan kad merah pada minit ke-17, sekali gus memberikan kelebihan kepada pasukan kendalian Bartosch Gaul.

Kelebihan itu dimanfaatkan Sanfrecce untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Akito Suzuki seminit kemudian.

Biarpun kekurangan seorang pemain, JDT tetap berusaha mengatur serangan dan hampir kembali mendahului perlawanan, namun percubaan Yago Cesar pada minit ke-27 tidak menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, gawang JDT sekali lagi dibolosi apabila Akito meledak gol kedua peribadi selepas menerima hantaran Naoki Maeda pada minit ke-47 untuk memastikan kemenangan pasukan tuan rumah.

Selepas keputusan itu, JDT dijadualkan menentang satu lagi kelab Jepun, Vissel Kobe, di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Feb depan dalam aksi yang bakal menjadi penentuan kelayakan ke pusingan kalah mati.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan