EKONOMI

PGB Akan Bangunkan RGT-3 Di Lumut, Teroka Kerjasama Pembangunan Bersama Rakan Strategik

04/05/2026 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) telah menerima surat pemberitahuan daripada Kementerian Ekonomi pada 30 April 2026 untuk membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut, Perak (RGT-3) yang akan menggunakan konsep Unit Penyimpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU)

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PGB memaklumkan syarikat itu turut meneroka potensi pembangunan bersama projek berkenaan dengan rakan strategik.

Menurutnya, pelbagai penilaian teknikal dan komersial telah dijalankan bagi pembangunan infrastruktur gas baharu berdasarkan unjuran bekalan dan permintaan gas di Semenanjung Malaysia.

“Berdasarkan penilaian tersebut, syarikat telah mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Tenaga bagi pembangunan RGT-3 di Lumut dengan sasaran tarikh operasi komersial pada suku kedua 2029,” menurutnya.

Dengan penerimaan surat makluman itu, PGB memaklumkan bahawa RGT-3 akan dibangunkan menggunakan konsep FSRU, iaitu proses penyimpanan dan regasifikasi gas asli cecair (LNG) akan dilaksanakan di atas unit FSRU tersebut.

“LNG yang telah diregasifikasikan akan disalurkan melalui saluran paip penghubung dari kemudahan darat dan fasiliti tambatan RGT-3 ke sistem Peninsular Gas Utilisation (PGU). Projek ini juga akan menjadi penggunaan pertama FSRU di Malaysia,” menurut PGB.

Syarikat itu memaklumkan RGT-3 direka dengan kapasiti penyimpanan LNG sebanyak 170,000 meter padu serta kapasiti penghantaran regasifikasi sebanyak 500 juta kaki padu standard sehari (mmscfd).

“RGT-3 dijangka menyokong keperluan tambahan gas bagi kapasiti loji janakuasa sekitar 3.5 gigawatt di Semenanjung Malaysia. Projek ini akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga, dengan tarif ditentukan berdasarkan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR),” katanya.

Menurut PGB, pembangunan RGT-3 sejajar dengan strategi pertumbuhan syarikat sebagai penyedia infrastruktur gas dan utiliti, selain menyokong pembangunan berterusan serta kebolehpercayaan infrastruktur gas di Semenanjung Malaysia.

“Projek ini akan meningkatkan kapasiti serta fleksibiliti rangkaian bekalan gas bagi memenuhi keperluan permintaan negara yang semakin berkembang,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan