EKONOMI

Southern Cable Dijangka Catat Pertumbuhan Pendapatan Kukuh Pada Suku Keempat 2025 - HLIB

04/02/2026 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangka Southern Cable Group Bhd mencatatkan pertumbuhan pendapatan suku tahunan yang kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2025, didorong oleh pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang meningkat.

Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini, prestasi kukuh itu akan menjadikan pendapatan teras Southern Cable pada tahun kewangan 2025 mencapai unjuran HLIB sebanyak RM130.9 juta.

“Kami menjangka momentum pendapatan berterusan sehingga suku pertama tahun kewangan 2026 walaupun kerja-kerja ECRL telah selesai. 

“Ini berikutan pengurusan menekankan banyak tempahan berkaitan projek solar 132 kV yang masih belum dilaksanakan dan dijadualkan untuk pelaksanaan selepas ECRL, menyokong kadar prestasi jangka pendek yang baik,” katanya.

HLIB turut menjangka potensi risiko terhadap unjuran pendapatan teras tahun kewangan 2026 sebanyak RM151 juta.

“Pada masa ini, model kami mengandaikan pertumbuhan pendapatan sebanyak 15 peratus pada tahun kewangan 2026, sebahagian besarnya mencerminkan impak tahun penuh daripada peningkatan kapasiti pada tahun lepas,” katanya.

Oleh itu, HLIB mengekalkan saranan “beli” ke atas Southern Cable dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.59 sesaham.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan