PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti keperluan meminda beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman terhadap kes kecurian kabel, khususnya membabitkan projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dipersetujui pada sesi pertemuan beliau dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersama pengendali perkhidmatan rel termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta pihak ECRL, baru-baru ini.
“Dalam pertemuan itu kita bersetuju, ada keperluan mendesak untuk kita pinda balik akta yang berkenaan bagi mewujudkan orang kata mencegah kepada insiden (curi kabel),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pertemuan Menteri Dalam Negeri bersama warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Saifuddin Nasution berkata selain itu pengendali perkhidmatan rel juga perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi keselamatan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem pemantauan pintar selari dengan amalan di negara maju.
“Kita lihat negara seperti China dan Jerman, pengendali rel mereka melabur besar dalam teknologi keselamatan. Pendekatan ini perlu diambil bersama oleh penguat kuasa dan pengendali,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengenal pasti dua jenis kabel utama sering menjadi sasaran iaitu kabel isyarat dan kabel bekalan kuasa yang kebanyakannya dijual kepada kilang pelupusan besi dan logam kerana mempunyai nilai pasaran tinggi.
“Kes kecurian tertinggi setakat ini dilaporkan di Pahang ketika kerja pemasangan ECRL sedang giat dijalankan. Insiden ini dijangka beralih ke Terengganu dan Kelantan apabila kerja pemasangan diteruskan di negeri-negeri berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, tular laporan bahawa kes kecurian kabel hanya dikenakan denda RM1,000 dan tidak setimpal dengan kerugian ditanggung oleh pengendali dan kerajaan.
Loke dilaporkan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas terhadap kes kecurian kabel di tapak projek ECRL kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kelancaran dan pelaksanaan projek berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial