JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Perancis Dan Dua Rakan Bebas Tuduhan Edar, Miliki Dadah

03/02/2026 07:19 PM

ALOR SETAR, 3 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang lelaki warga Perancis serta dua rakannya daripada tujuh pertuduhan berkaitan dadah pada Ogos 2023.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Tom Felix, 35, serta rakannya Muhammad Rusydan Danyal Hussain, 34, dan Nor Puteri Farrah Awang, 32, pada akhir kes pendakwaan.

Bagi tiga pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 384.8 gram (g), 377.7 g dan 983.6 g di sebuah rumah di Jalan Batu Asah, Mukim Kuah, Langkawi pada 5.40 petang, 9 Ogos 2023.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Felix, Muhammad Rusydan Danyal dan Nor Puteri Farrah juga secara bersama dituduh memiliki dadah jenis kanabis seberat 68.2 g, 31.2 g, 5.7 g dan 9.6 g di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi tuduhan bersama memiliki dadah jenis kanabis seberat 68.2 g, 31.2 g dan 9.6 g, mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala bagi kanabis seberat 5.7 g di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Evawani Farisyta dalam penghakimannya berkata tidak dinafikan ketiga-tiga tertuduh telah ditahan di dalam rumah terbabit, namun pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kesemua tertuduh mempunyai akses eksklusif kepada barang kes yang ditemukan di dalam rumah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Hafiz, manakala Felix diwakili peguam Collin Arvind Andrew, Muhammad Rusydan Danyal diwakili Devkumar dan Nor Puteri Farrah diwakili Datuk G. Shanmugam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan