AM

Program Pendidikan "Allianz Eco Quest" Di Perluas Ke SMK Langkawi, Memupuk Pemimpin Masa Depan

28/01/2026 09:50 AM

LANGKAWI, 28 Jan  (Bernama) -- Bermula sebagai program perintis pascapandemik yang bertujuan memberi motivasi kepada kanak-kanak Pulau Tuba dalam pelajaran dan menggalakkan mereka terus bersekolah, “Allianz Eco Quest” kini diperluaskan kepada inisiatif jangka panjang bagi memastikan tiada lagi kanak-kanak yang tercicir dalam perjalanan pendidikan mereka.

Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat mereka, berusaha mengembangkan inisiatif alam sekitar dan pendidikan itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi, Pulau Tuba. 

Majlis pelancarannya pada 15 Jan lepas disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif  Allianz Malaysia Sean Wang, yang turut dihadiri Pengerusi Allianz Malaysia Zakri Mohd Khir, Penolong Pengurus Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Mohammad Shauqi Md Rezali,  ahli lembaga pengarah, guru dan pelajar SMK Langkawi.

Zakri berkata penglibatan Allianz Malaysia bersama komuniti Pulau Tuba bermula seawal 2018 dan ketika itu mereka mendapati sebilangan murid di pulau itu berdepan cabaran dalam akademik dan ramai yang tercicir daripada sistem persekolahan. 

“Kami terkejut apabila mendapati sebilangan murid ini tidak boleh membaca walaupun mereka sudah berada di tahun empat. Apa yang lebih membimbangkan kadar keciciran dalam kalangan murid di sini adalah tinggi,” katanya pada sidang media di majlis itu di sini.

Sehubungan itu, Zakri berkata Allianz Malaysia telah melancarkan inisiatif pemerkasaan pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba pada 2022, dengan kerjasama Incredible Hearts PLT, sebuah pertubuhan sosial yang memberi tumpuan kepada pendidikan khusus serta pendekatan gamifikasi dalam intervensi pendidikan.

Beliau berkata inisiatif itu direka sebagai pembelajaran berasaskan projek melalui pendekatan lebih interaktif dan alternatif yang merangkumi elemen seperti gamifikasi, pendigitalan, keusahawanan, literasi kewangan dan seni persembahan, bagi membantu meningkatkan prestasi akademik para pelajar.

“Kami bermula dengan murid sekolah rendah dan memantau perkembangan mereka selama kira-kira dua setengah tahun. Hari ini, murid yang sama dari tahun empat, lima dan enam telah melangkah ke sekolah menengah dan kami akan terus bersama mereka. Harapan kami adalah untuk membimbing mereka hingga ke tingkatan lima dan menilai berapa ramai yang akhirnya berjaya menamatkan peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.

Sementara itu, Wang berkata langkah mengembangkan inisiatif itu ke sekolah menengah mencerminkan keyakinan Allianz Malaysia bahawa bagi mendapatkan kesan yang mampan dalam komuniti memerlukan usaha berterusan.

“Dengan memperluaskan inisiatif Allianz Eco Quest ke SMK Langkawi, kami memperkasakan alumni kami untuk menjadi mentor, suri teladan dan agen perubahan. Ini bagi memastikan nilai-nilai pemeliharaan alam sekitar, ketahanan dan pembelajaran sepanjang hayat terus berakar umbi dalam komuniti,” katanya dalam ucapan perasmian acara tersebut. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Incredible Hearts PLT Nurul Asna Hidayah Mior Abdul Rahman berkata sepanjang tempoh inisiatif selama tiga tahun dari 2026 hingga 2028, peserta program dari sekolah menengah akan memainkan peranan aktif dalam membimbing pelajar yang lebih muda dari SK Pulau Tuba. 

Beliau berkata sementara komponen sekoleh rendah memberi tumpuan kepada tema pendidikan berasaskan lokasi dan alam sekitar, sekolah menengah pula akan menekankan kepada pembangunan kapasiti, melengkapkan pelajar dengan kepimpinan, fasilitasi dan kemahiran hidup. 

“Pelajar sekolah menengah ini, mereka sedikit berbeza. Mereka mempunyai lebih autonomi dan keinginan kuat untuk memimpin, dan kita mahu menyokong dan membimbing mereka ke arah yang lebih positif,” katanya sambil menambah matlamat jangka panjang adalah untuk memastikan pelajar bersedia untuk memimpin inisiatif tersebut apabila mereka tamat belajar nanti. 

Nurul Asna Hidayah berkata menerusi inisiatif itu, pelajar juga akan digalakkan untuk mereka bentuk dan mencipta permainan mereka sendiri dengan bimbingan fasilitator dan alat bantu lain jika diperlukan, selain menyertai kelab seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Metametik (STEM), Sukan dan Ekspresi, dengan kelab tambahan lain pada tahun berikutnya

Ditanya mengenai keberkesanan Allianz Eco Quest, beliau berkata inisiatif itu berjaya membawa banyak peningkatan bukan hanya dalam akademik, tetapi juga tingkah laku dan kesedaran pelajar terhadap isu alam sekitar.

“Memang pada awalnya ada cabaran apabila sesetengah murid sangat malu untuk turut serta dalam aktiviti yang diadakan tetapi selepas menyertai kelas beberapa kali kemahiran sosial dan tahap keyakinan mereka semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Perkembangan positif itu turut dapat dilihat melalui pengalaman seorang ibu kepada alumni program berkenaan, Nadziah Mohd Nor, 44, yang mengakui inisiatif tersebut telah membantu membina keyakinan anaknya.

“Anak saya awalnya memang susah nak bercakap dengan orang lain, tapi lepas masuk program ini dia jadi makin ramah dan yakin. Sampai dia boleh masuk pertandingan pidato bahasa Arab di peringkat daerah Langkawi dan menang tempat ketiga,” katanya. 

Selain pelajar, Nadziah berkata program tersebut turut melibatkan penyertaan ibu bapa, yang diberikan peranan untuk melestarikan kawasan sekolah dengan melakukan aktiviti berkebun serta membina beberapa perpustakaan kecil bagi memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar dan meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar.

Sementara itu, Ahmad Nazri Ramlim, 46, berkata beliau menyokong penyertaan anaknya dalam program berkenaan kerana mahu memutuskan kitaran di Pulau Tuba yang menyaksikan kebanyakan anak nelayan akan mewarisi pekerjaan ibu bapa mereka.

“Walaupun saya sendiri seorang nelayan, saya nak anak saya belajar lagi tinggi daripada saya kalau boleh sampai ‘Master’ atau ‘PhD’ dan dapat pekerjaan yang lebih bagus,” katanya sambil mengajak lebih ramai ibu bapa untuk menghantar anak mereka program tersebut.

Bagi adik kecil Muhammad Zakhwan bin Mohd Fikri, 12, program Allianz Eco Quest membantu meningkat pemahamannya, terutama dalam subjek Sains.

“Kalau dalam kelas biasa kita belajar saja, tapi dalam kelas Allianz kita kena main game tentang sistem solar, permukaan pokok dan buat reka bentuk macam bina robot. Jadi, kita nampaklah macam mana gerhana bulan dan matahari boleh terjadi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan