AM

Hospital Pekan Perkenal Perkhidmatan Perubatan Tradisional Dan Komplementari

30/01/2026 04:45 PM

PEKAN, 30 Jan (Bernama) -- Hospital Pekan mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) pertama di Pahang yang menawarkan rawatan Urutan Melayu Tradisional kepada orang ramai menerusi perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K). 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim berkata pelaksanaan perkhidmatan itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang bersama KKM dalam mempelbagaikan pendekatan rawatan kesihatan yang lebih holistik dan berfokuskan kesejahteraan pesakit.

"Urutan Melayu tradisional adalah warisan kita yang kini diangkat martabatnya ke dalam sistem perubatan arus perdana secara saintifik dan selamat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan perkhidmatan itu di Hospital Pekan di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Pahang Dr Saiful Azlan Sharif.

Razali berkata perkhidmatan berkenaan dikendalikan oleh pengamal perubatan tradisional bertauliah dan terlatih selain dipantau rapi mengikut piawaian KKM bagi menjamin keselamatan serta kualiti rawatan.

"Rawatan urutan Melayu tradisional di unit ini ditawarkan khusus sebagai rawatan sokongan bagi pesakit yang mengalami kesakitan kronik termasuk sakit belakang dan sakit otot rangka.

"Di samping itu, ia turut dipraktikkan bagi pemulihan pascastrok untuk membantu meningkatkan mobiliti dan mengurangkan kekejangan otot pesakit yang telah stabil," katanya.

Beliau berkata Hospital Pekan dipilih sebagai perintis pelaksanaan perkhidmatan PT&K di negeri ini susulan kesiapsiagaan fasiliti, kepakaran dan sokongan klinikal yang memenuhi piawaian keselamatan serta keberkesanan rawatan.

Perkhidmatan yang beroperasi di lobi aras dua Hospital Pekan itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum dengan bayaran RM20 bagi setiap sesi rawatan.

Difahamkan sebanyak enam pesakit boleh menjalani rawatan setiap hari dan mereka perlu dirujuk terlebih dahulu oleh pegawai perubatan atau pakar perubatan bagi mendapatkan perkhidmatan itu.

Sementara itu, mengenai isu hakisan pantai di Pahang, Razali memaklumkan kerajaan negeri telah membuat permohonan peruntukan kepada kerajaan Persekutuan untuk mengawal hakisan pantai dan mendalamkan muara sungai iaitu dari sempadan Pahang-Terengganu dan Pahang-Johor.

"Dianggarkan kos untuk memulihkan hakisan pantai di sepanjang pantai di Pahang menelan kos besar iaitu lebih RM1 bilion. Kita juga akan lihat balik data berkaitan hakisan dari tahun 1985 hingga 2025 iaitu dalam tempoh 40 tahun ini bagi mengenal pasti jumlah sebenar kehilangan tanah yang dihadapi," katanya.

Beliau berkata individu yang tanahnya sudah menjadi laut akibat hakisan masih dianggap pemilik tanah berkenaan selagi mereka tidak menyerahkan geran tanah kepada pihak kerajaan dan masih perlu membayar cukai tanah terbabit.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan