JENAYAH & MAHKAMAH

Suami Isteri Warga Emas Didakwa Miliki Senjata Api, Peluru Dan Dadah

30/01/2026 12:01 PM

KLUANG, 30 Jan (Bernama) -- Sepasang suami isteri warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran sah serta dadah, minggu lepas.

Koh Yaw, 61, dan isterinya, Ong Kim Chu, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mereka secara bersama-sama didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis revolver .38 SPL jenama Taurus Brasil dan 33 butir peluru tanpa kebenaran yang sah serta dadah jenis kanabis dengan anggaran berat kasar 84.54 gram.

Ad Banner

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan 3/2, Taman Sri Kluang pada 12.30 tengah malam 22 Jan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan memiliki dadah, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli manakala pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.

Hakim Mujib tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula pada 27 Feb untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan