BALING, 28 Jan (Bernama) -- Sebuah tapak pelupusan sampah yang beroperasi secara haram di Kampung Besah, Mukim Tawar dekat sini terbakar sejak semalam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya telah menggerakkan pasukan melakukan siasatan di lokasi setelah menerima maklumat berkenaan kejadian itu.
“Pemeriksaan malam tadi mendapati api masih marak, longgokan sampah berserta plastik yang dijumpai di tapak pelupusan haram itu dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 29A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi JAS Kedah di talian 04-7332832 atau JAS Kedah Cawangan Kulim di talian 04-4037675,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kawasan pelupusan sampah itu dianggar berkeluasan 0.5 hektar dengan longgokan sampah mencecah lebih sembilan meter.
“Kita tiada maklumat sejak bila kebakaran bermula kerana tiada aduan yang dibuat. Lokasinya terletak di tepi jalan dan tepi sungai.
“Kita akan buat semakan berhubung status pemilikan tanah manakala pensampelan rasmi di lokasi turut dibuat dan semua sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk dianalisis,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial