DUNIA

Kerajaan Perancis Terselamat Dua Undi Tidak Percaya Berhubung Isu Belanjawan

28/01/2026 05:31 PM

PARIS, 28 Jan (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan Perancis pimpinan Perdana Menteri Sebastien Lecornu pada Selasa terselamat daripada dua undi tidak percaya berhubung isu belanjawan selepas wakil rakyat di Perhimpunan Kebangsaan menolak usul berkenaan, lapor Xinhua.

Usul itu difailkan secara berasingan pada Jumaat oleh kumpulan parlimen sayap kiri termasuk La France Insoumise, Kumpulan Kiri Demokratik dan Republikan (GDR) serta Ecologists, selain oleh parti sayap kanan Perhimpunan Nasional dan sekutunya, Union of the Right for the Republic (UDR), yang menuduh kerajaan menyalahgunakan kuasa perlembagaan untuk memaksa belanjawan negara diluluskan di Parlimen.

Menurut Perhimpunan Kebangsaan, usul yang dikemukakan wakil rakyat sayap kiri memperoleh 267 undi, kurang 22 undi daripada 289 undi yang diperlukan untuk diluluskan.

Usul kedua yang dibentangkan wakil rakyat sayap kanan turut ditolak selepas menerima 140 undi, jauh di bawah ambang yang diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan.

Belanjawan negara terdiri daripada dua komponen utama iaitu hasil dan perbelanjaan.

Lecornu pertama kali menggunakan Perkara 49.3 di Perhimpunan Kebangsaan pada 20 Jan lepas bagi meluluskan bahagian hasil rang undang-undang belanjawan, dan sekali lagi menggunakan mekanisme itu bagi meluluskan bahagian perbelanjaan selepas kerajaan beliau terselamat daripada dua undi tidak percaya pada Jumaat.

Dengan undi tidak percaya diketepikan pada Selasa, rang undang-undang itu kini akan dibentangkan ke Senat sebelum dikembalikan semula ke Perhimpunan Kebangsaan untuk penggunaan Perkara 49.3 bagi kali ketiga dan terakhir, langkah yang dijangka diikuti oleh usul tidak percaya yang lain.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan