KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Anak syarikat Greentronics Technology Bhd yang memberi tumpuan pengurusan pengangkutan, Mpire Mobility Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Thai Paiboon Insurance Public Co Ltd (TPB) bagi menyertai industri insurans digital Thailand.
Dalam satu kenyataan hari ini, Greentronics berkata perjanjian tersebut bertujuan memanfaatkan peningkatan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
"Mpire Mobility dan TPB merancang untuk menyediakan perkhidmatan insurans digital untuk pemandu Malaysia yang memasuki Thailand," katanya.
Kenyataan itu menambah TPB memiliki portfolio insurans am terbesar untuk kenderaan Malaysia yang memasuki selatan Thailand.
Greentronics berkata kerjasama ini akan membolehkan pelanggan TPB dari Malaysia mengakses platform perkhidmatan automotif sehenti, pembaikan serta penyelenggaraan Mpire Mobility yang menghubungkan pemilik kenderaan terus kepada bengkel-bengkel yang sah untuk perkhidmatan dan pembaikan.
Ia berkata pelanggan akan dapat menggunakan aplikasi mudah alih Jom MyServis dari Mpire Mobility bagi meminta bantuan kecemasan tepi jalan serta sokongan logistik termasuk pengaturan untuk mengembalikan kenderaan ke Malaysia bagi tujuan pembaikan dan tuntutan.
"TPB akan menyediakan perkhidmatan berkaitan insurans untuk pemandu Malaysia melalui platform digital Mpire Mobility, mengurangkan kebimbangan berkaitan halangan bahasa, cabaran komunikasi dan kerumitan proses tuntutan," katanya.
Pengerusi Eksekutif Greentronics Datuk Billy Goh Soo Wee berkata kerjasama baharu dengan TPB ini mewakili satu lagi pencapaian penting bagi kumpulan berkenaan.
"Menerusi penyertaan kami ke dalam industri insurans digital Thailand, kami akan terus mengembangkan perniagaan Mpire Mobility sambil memanfaatkan peningkatan perjalanan rentas sempadan Malaysia-Thailand," katanya.
Beliau berkata, sejak penubuhan Mpire Mobility pada 2024, platform tersebut melengkapkan lebih 1,000 kenderaan dengan telematik dan mencatatkan lebih 10,000 pengguna akhir dalam ekosistemnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan TPB Eugene Foong berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat insurans itu untuk meningkatkan perlindungan pelanggan melalui inovasi digital dan penyelesaian rentas sempadan yang praktikal.
"Melalui kerjasama dengan Mpire Mobility, kami dapat memperluaskan perkhidmatan insurans kami melangkaui sempadan negara, memberikan pemandu Malaysia yang melancong di Thailand lebih kejelasan, keyakinan dan sokongan sekiranya berlaku kemalangan," katanya.
Katanya, penyepaduan platform digital dan penyelarasan proses selepas jualan membolehkan syarikat menambah baik komunikasi, mempermudah pengendalian tuntutan dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih lancar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial