JENAYAH & MAHKAMAH

Proses Pengantaraan Gagal, Perbicaraan Kes Saman Mohd Na'im Terhadap Papagomo Diteruskan

27/01/2026 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Kes saman fitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo, akan diteruskan dengan perbicaraan selepas gagal diselesaikan secara baik.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Mohd Na'im, berkata proses pengantaraan menemui jalan buntu selepas Wan Muhammad Azri tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

"Sehubungan itu, perbicaraan kes saman yang telah ditetapkan pada 21 dan 24 Sept ini diteruskan… bagaimanapun, mahkamah menetapkan 6 Mac untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan sekiranya terdapat penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kenneth Yoong Ken Chinson St James, yang bertindak sebagai pengantara.

Prosiding pengantaraan itu, yang berlangsung selama sejam, turut dihadiri oleh Mohd Na'im dan Wan Muhammad Azri bersama peguamnya, Logen Eskandar Abdullah.

Mohd Na’im, yang memfailkan saman itu pada 19 Okt 2023, mendakwa Wan Muhammad Azri telah menerbitkan satu hantaran berbaur fitnah terhadapnya di akaun Facebook dikenali sebagai Sir Azri bertarikh 18 Sept 2023.

Beliau mendakwa defendan telah memuat naik satu klip video berdurasi enam minit 41 saat yang diambil daripada akaun TikTok ‘@nurhafizulbadrulhisham’.

Mohd Naím mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak membuat atau melakukan apa-apa tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam.

Hal ini kerana plaintif kononnya mempunyai kes berkaitan tuduhan seksual atau lucah maka beliau dianggap sebagai seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan statusnya di mata masyarakat umum.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan