EKONOMI

Congatec Buka Anak Syarikat Di Pulau Pinang, Perluas Jejak Strategik Di Asia

27/01/2026 03:53 PM

GEORGE TOWN, 27 Jan (Bernama) -- Congatec, peneraju global dalam teknologi pengkomputeran pinggiran dan terbenam, menubuhkan anak syarikat di Pulau Pinang, menandakan peluasan kehadiran kejuruteraan dan penyelidikannya di Asia.

Dalam kenyataan pada Selasa, InvestPenang menjelaskan usaha tersebut menunjukkan komitmen Congatec untuk menyokong keupayaan reka bentuk, penyesuaian dan sokongan teknikal pengkomputeran terbenam bernilai tinggi di Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi global “tempatan untuk tempatan”.

“Sebagai sebahagian peluasan ini, Congatec telah menyepadukan pasukan kejuruteraan terbenam berpengalaman daripada Kontron Asia, yang terdiri daripada 23 jurutera pakar, dengan perancangan untuk meningkatkan operasi di Pulau Pinang kepada kira-kira 70 pekerja dalam jangka masa sederhana.

“Anak syarikat baharu ini mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sokongan teknikal serantau Congatec, membolehkan kitaran pembangunan yang lebih pantas, penyelesaian sedia aplikasi dan kerjasama lebih rapat dengan pelanggan di seluruh pasaran Asia Pasifik,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian berkata perindustrian selama 50 tahun  di Pulau Pinang telah memupuk asas bakat yang kukuh dan berkemahiran tinggi merangkumi kejuruteraan, reka bentuk, pembuatan dan teknologi termaju.

Beliau berkata kematangan industri itu membolehkan pelabur seperti Congatec mengembangkan R&D, sokongan teknikal dan operasi serantau dengan cekap, disokong oleh bakat yang berdaya saing di peringkat global dan sedia industri.

“Kami yakin kehadiran Congatec akan menjana limpahan teknologi kepada Pulau Pinang, dan integrasi piawaian kualiti ‘Designed in Germany’ dengan ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang kukuh -- disokong oleh bakat berkemahiran tinggi kami -- akan mewujudkan sinergi yang kukuh untuk inovasi dan pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata peluasan Congatec untuk menubuhkan anak syarikat R&D di Pulau Pinang mencerminkan peralihan Malaysia ke arah aktiviti bernilai tinggi dan dipacu inovasi dalam ekosistem elektrik dan elektronik.

Beliau berkata pelaburan tersebut mengesahkan lagi pengiktirafan yang semakin banyak terhadap Malaysia sebagai lokasi strategik bagi keupayaan pengkomputeran terbenam termaju.

Usaha itu akan mengukuhkan kapasiti R&D domestik, mempercepat penggunaan teknologi dan mewujudkan laluan kerjaya untuk bakat kejuruteraan tempatan apabila fungsi kejuruteraan serta sokongan teknikal yang canggih ditempatkan di sini, katanya.

“Sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, peluasan Congatec menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai hab berdaya saing bagi inovasi pengkomputeran pinggiran dan terbenam generasi seterusnya di rantau ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Congatec, Dr Dominik Ressing berkata pembukaan anak syarikat di Malaysia merupakan langkah semula jadi seterusnya berasaskan falsafah ‘tempatan untuk tempatan’ pihaknya, kerana sumber pembangunan dan sokongan serantau membolehkan tindak balas yang lebih pantas dan tepat terhadap keperluan tempatan.

“Matlamat kami adalah untuk menambah baik masa untuk pasaran bagi pelanggan, jumlah kos pemilikan dan pulangan pelaburan melalui kepakaran kejuruteraan tempatan, di samping mengurangkan halangan untuk pembangunan aplikasi di seluruh rantau Asia Pasifik,” katanya.

Pusat Congatec di Pulau Pinang akan menyokong pasaran Asia Pasifik dengan platform pengkomputeran terbenam standard dan tersuai yang dibangunkan selaras dengan piawaian kualiti “Designed in Germany”.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan