AM

Restoran Mohd Chan Terima Sijil ASEAN Records Sempena Pembukaan Cawangan Baharu

27/01/2026 08:34 PM

GENTING HIGHLANDS, 27 Jan (Bernama) -- Rangkaian restoran Cina Muslim, Mohd Chan menerima Sijil Pengiktirafan ASEAN Records sebagai “Rangkaian Restoran Cina Muslim Milik Langsung Pertama dan Terbesar” sempena Majlis Santuni Kasih Diraja Bersama Anak Yatim dan Asnaf serta pembukaan rasmi cawangan Genting Permai di sini hari ini. 

Penyerahan sijil itu bagi mengiktiraf perjalanan restoran Mohd Chan, sebuah jenama tempatan yang beroperasi sejak 2007 dan berkembang berlandaskan nilai integriti, kelestarian serta prinsip “Halalan Toyyiban”.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis itu dan turut menyaksikan gimik pelancaran “Charity Van Mohd Chan” sebagai simbol komitmen berterusan syarikat terhadap kerja kebajikan dan khidmat masyarakat, serta penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan.

Pengarah Urusan Mohd Chan Signature Sdn Bhd Datuk Mustafa Chan berkata syarikat itu berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan perniagaan perlu seiring dengan usaha menyantuni masyarakat, khususnya anak-anak yatim dan golongan asnaf.

“Mohd Chan beriltizam untuk terus menjadikan nilai keikhlasan, integriti dan ihsan sebagai asas dalam setiap langkah, bukan sahaja dalam penyediaan makanan halal berkualiti tetapi juga dalam usaha kebajikan dan pembangunan insan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu bercakap kepada media selepas majlis tersebut, Mustafa berkata penganjuran majlis berkenaan selari dengan pendekatan syarikat yang sentiasa mengutamakan aktiviti kebajikan melalui Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, terutama kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Mengenai Sijil Pengiktirafan ASEAN Records yang diterima, beliau berkata pengiktirafan tersebut bukan sekadar satu pencapaian tetapi turut membawa tanggungjawab lebih besar untuk terus mengembangkan perniagaan secara mampan.

“Ia menunjukkan satu tanggungjawab yang lebih berat untuk kami terus fokus dan berterusan dalam mengembangkan perniagaan, di samping meneruskan pertukaran budaya melalui makanan, khususnya makanan Cina Muslim,” katanya.

Beliau turut memaklumkan setakat ini Mohd Chan mempunyai 28 cawangan yang kesemuanya dimiliki secara langsung tanpa francais dan beroperasi di Semenanjung Malaysia.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Eksekutif Mohd Chan Datuk Nik Chan, Pengarah Pemasaran Datin Aishah Sim, Pengarah Urusan ASEAN Records Gilian Ooi dan Pengarah Eksekutif ASEAN Records Eldrick Koh.  

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan