AM

Labuan Galak Budaya Kebersihan Demi Kehidupan Bandar Lestari

24/01/2026 06:00 PM

LABUAN, 24 Jan (Bernama) -- Labuan menjana purata kira-kira 150 tan sisa pepejal setiap hari meliputi sisa domestik, komersial serta sisa daripada pembersihan kawasan awam dan taman, sekali gus menekankan keperluan terhadap pengurusan sisa sistematik bagi menjamin kelestarian alam sekitar serta memanjangkan tempoh penggunaan tapak pelupusan sedia ada.

Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Datuk Bashir Alias berkata komposisi sisa di tapak pelupusan di pulau bebas cukai itu sebahagian besarnya terdiri daripada sisa makanan, plastik dan kertas, yang mencerminkan corak penggunaan serta aktiviti ekonomi penduduk.

 “Kecekapan pengurusan sisa bukan sahaja penting untuk perlindungan alam sekitar, tetapi juga berkait rapat dengan kesejahteraan bandar dan kualiti hidup masyarakat," katanya berucap pada program Bersih Semua Tempat (BeST) yang diadakan sempena sambutan hari Wilayah Persekutuan di Marina Awam di sini hari ini.

Beliau berkata tema sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini yang menekankan kesejahteraan bandar dan kelestarian wajar diterjemahkan sebagai budaya kebersihan yang menjadi amalan hidup seharian dan bukannya sekadar usaha bermusim.

Sebagai hab kewangan dan pelancongan, Bashir berkata Labuan perlu sentiasa kekal bersih, selesa dan memiliki daya tarikan khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kebersihan antara faktor penting dalam kesihatan awam kerana persekitaran yang bersih dapat mencegah pembiakan nyamuk Aedes dan penularan penyakit berjangkit,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak meletakkan tanggungjawab menjaga kebersihan terhadap pihak berkuasa tempatan semata-mata sebaliknya bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan kebersihan kawasan perumahan serta premis perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan