KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- CIMB Islamic Bank Bhd memperuntukkan RM20 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menyokong inisiatif pemuliharaan alam sekitar melalui program EcoSave-i, akaun simpanan Islam pertama di Malaysia yang bertumpu kepada alam sekitar.
Program itu dirangka untuk menyokong inisiatif pemuliharaan di bawah rangka kerja produk dan perkhidmatan berimpak hijau, sosial dan kelestarian kumpulan itu. Ia menyasarkan pembiayaan lestari sebanyak RM300 bilion menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata pembiayaan itu akan menyokong usaha pemuliharaan, pendidikan alam sekitar dan pemerkasaan komuniti yang disesuaikan dengan keperluan tempatan.
“Banyak usaha pemuliharaan perlu disesuaikan dengan keadaan tempatan kerana kawasan yang berbeza memerlukan pendekatan yang sesuai,” katanya pada CIMB Islamic Green Showcase di sini hari ini.
Beliau berkata bank bekerjasama rapat dengan rakan kongsi teknikal untuk menentukan petunjuk prestasi yang sesuai, yang termasuk status perlindungan tanah, hasil penanaman pokok atau program latihan komuniti, bergantung pada lokasi.
Katanya inisiatif pemuliharaan CIMB Islamic sejak lima tahun lepas telah mempunyai lebih 3,000 ahli komuniti tempatan manakala lebih 10,000 pokok telah ditanam di seluruh negara.
Antara projek utama ialah Taman Tugu di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan peruntukan RM3 juta selain usaha pemuliharaan hutan di Rizab Biosfera Bukit Bendera dan Taman Negeri Royal Belum.
“Taman Tugu merupakan pusat tumpuan pelanggan dan orang ramai untuk mempelajari mengenai usaha pemuliharaan, terutamanya kerana ia mudah diakses di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya.
Ahmad Shahriman berkata inisiatif itu selaras dengan prinsip kewangan Islam, yang menekankan pengurusan dan tanggungjawab melebihi pulangan komersial.
“Kami bukan sekadar tumpu kepada keuntungan. Di bawah kewangan Islam, kami melihat diri kami sebagai pengurus, bertanggungjawab menjaga alam sekitar dan komuniti di sekeliling kami,” katanya.
Beliau berkata komitmen selama lima tahun itu bertujuan memastikan kesinambungan dan daya tahan projek pemuliharaan selain perlindungan alam sekitar memerlukan kerjasama jangka panjang yang berterusan.
“Projek ini tidak boleh dilaksanakan hanya sekali setahun. Ia perlu menjadi projek berterusan selama beberapa tahun. Pemuliharaan memerlukan pelbagai pihak berkepentingan dan program yang boleh diteruskan serta disesuaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial