AM

Pasangan Tabah Terima Pemergian Seorang Daripada Bayi Kembar Tiga

24/01/2026 05:53 PM

ALOR GAJAH, 24 Jan (Bernama) -- Pemergian seorang daripada bayi kembar tiga pasangan Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini pada 7.20 pagi tadi di Hospital Melaka, menjadi satu lagi ujian kepada mereka selepas kehilangan cahaya mata sulung yang dinantikan selama 13 tahun sebelum ini.

Mohd Fikry, 41, berkata walaupun amat perit menerima kehilangan Maryam Al Khawla yang berusia tiga bulan, beliau dan Sabrina, 41, reda serta pasrah dengan ketentuan Ilahi, selain percaya setiap ujian yang dilalui membawa hikmah tersendiri.

“Kami percaya ujian ini, walaupun berat, adalah asbab untuk kami ke syurga. Insya-Allah, anak-anak kami akan memimpin kami ke sana nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Maryam Al Khawla dilahirkan pada 24 Okt 2025 sebagai bayi pramatang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sejak lahir bagi pemantauan rapi berikutan beberapa komplikasi kesihatan, termasuk masalah jantung dan jangkitan usus.

Mohd Fikry berkata keadaan anaknya itu pada awalnya stabil sebelum menjadi kritikal secara mendadak bermula Jumaat lepas dan terus merosot dalam tempoh singkat.

“Pada Jumaat, kami sempat melawat dan keadaannya masih stabil, namun pada Isnin doktor memaklumkan keadaannya semakin tenat. Perubahan terlalu cepat,” katanya.

Beliau berkata pihak hospital memaklumkan kematian Maryam Al Khawla berpunca daripada jangkitan kuman yang merebak dengan pantas sehingga menjejaskan beberapa organ dalaman dan menyebabkannya tidak sedarkan diri.

Sepanjang 93 hari berada di hospital, Mohd Fikry berkata beliau tidak pernah berpeluang mendukung atau mencium anaknya berikutan prosedur ketat lawatan di NICU.

“Hari ini baru saya dapat mendukung dan mencium Maryam Al Khawla. Itu kali pertama dan terakhir,” katanya dengan nada sebak.

Jenazah bayi itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi di sini bersebelahan pusara abang sulungnya, Muhammad Al Fateh. Dua lagi bayi kembar pasangan itu kini berada dalam keadaan sihat dan stabil.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan hasil rawatan kesuburan in vitro (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), yang ditubuhkan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sebelum ini, pasangan berkenaan menjadi perhatian ramai susulan anak lelaki mereka yang berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama pada September 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan