DUNIA

Iran Tolak Tekanan Asing Berhubung Rusuhan, Kata Utusan Ke PBB

24/01/2026 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Tehran tidak akan tunduk kepada tekanan asing dan tidak akan bertolak ansur dengan pencerobohan sulit atau tindakan keganasan yang dilakukan atas nama "kebimbangan" hak asasi manusia, kata Duta dan Wakil Tetap Iran ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Ali Bahraini.

Beliau berkata cubaan pihak Barat untuk menuduh Iran berhubung rusuhan baru-baru ini bermotifkan politik dan bertujuan meningkatkan tekanan ke atas negara itu dengan menggunakan alasan hak asasi manusia, lapor Agensi Berita Mehr Iran.

“Iran mengiktiraf hak untuk memprotes secara aman, namun dalam kes baru-baru ini, ejen asing yang dikaitkan dengan perkhidmatan perisikan luar negara telah mengubah demonstrasi awal menjadi tindakan keganasan ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia PBB (HRC) yang diadakan atas permintaan beberapa negara Barat bagi membincangkan situasi di Iran.

Bahraini turut menegaskan ketabahan rakyat Iran dengan menyatakan bahawa tamadun Iran yang menjangkau lebih 2,500 tahun tidak pernah tunduk kepada pemerintahan penjajah.

“Sejarah membuktikan bahawa Iran tidak akan menyerah kepada tekanan asing mahupun bertolak ansur dengan pencerobohan sulit atas nama ‘kebimbangan’,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan