AM

Pemerkasaan Infrastruktur Digital Dan Industri Kreatif Antara Tumpuan Pada 2026 - Fahmi

21/01/2026 05:22 PM

PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Komunikasi memberi tumpuan kepada pemerkasaan  infrastruktur digital, industri kreatif dan informasi serta komunikasi kerajaan pada tahun ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pemerkasaan infrastuktur digital melibatkan banyak perancangan antaranya Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 dan penyelesaian Titik Kehadiran (PoP) Fasa 2 di kawasan tertentu. 

“(Ia juga termasuk) membantu sekolah-sekolah yang telah mendapat PoP, pemasangan WiFi di sekolah, universiti, Kolej MARA dan politeknik.

“(Selain itu) perancangan mengenai kabel dasar laut... perkara-perkara seperti itu perlu ada satu dasar... kita minta Bahagian Dasar dan Antarabangsa kementerian untuk meneliti..,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Amanat 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) perlu meneliti usaha bagi memperkasakan lagi industri kreatif negara kerana sumbangan industri ini dalam Keluaran Dalam Negara Kasar adalah tujuh peratus. 

“Kita jangkakan eksport terbaru filem Monsta iaitu Papa Zola telah ditayangkan di sejumlah bioskop di Indonesia... jarang sekali filem-filem kita dapat dibawa keluar tetapi bila dapat diusahakan dengan baik maka limpahannya nanti kepada kita.

“Jadi, industri kreatif termasuk animasi wajib kita sokong (dan) wajib kita usahakan... kita perlu cari dana bukan hanya dalam kementerian tetapi dengan rakan-rakan dalam sektor swasta untuk membangunkan industri kreatif,” katanya. 

Bagi pemerkasaan informasi dan komunikasi kerajaan, Fahmi menekankan terhadap keperluan penyaluran maklumat yang mudah difahami antaranya melalui penyediaan grafik mengenai dasar baharu yang dilancarkan Kerajaan MADANI. 

“Sejurus selepas pengumuman (dasar baharu dibuat), perlu diingatkan untuk mempunyai grafik yang mudah difahami untuk klien atau audiens yang perlu menerima maklumat. FAQ (Soalan Lazim) kena disediakan,” katanya. 

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan