SEOUL, 21 Jan (Bernama-Yonhap) -- Bekas Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck Soo dijatuhi hukuman penjara 23 tahun pada Rabu kerana memainkan peranan utama dalam pemberontakan dengan bersubahat terhadap tindakan bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang mengenakan undang-undang tentera untuk tempoh singkat, lapor Yonhap News Agency.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman itu dalam keputusan pertama yang mengesahkan bahawa pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis 2024 merupakan satu pemberontakan.
Hukuman itu lebih berat berbanding 15 tahun yang dicadangkan oleh pasukan pendakwaan khas Cho Eun-suk atas pertuduhan termasuk bersubahat dengan ketua pemberontakan, memainkan peranan penting dalam pemberontakan dan melakukan sumpah palsu.
Hakim Lee Jin Gwan, hakim yang mempengerusikan perbicaraan itu, mengarahkan Han ditahan, dengan alasan terdapat kebimbangan beliau mungkin memusnahkan bukti.
Mahkamah berkata bekas perdana menteri itu mengambil bahagian dalam pemberontakan dengan mencadangkan agar Yoon mengadakan mesyuarat Kabinet sebelum mengisytiharkan dekri tersebut.
Han tidak menyuarakan bantahan terhadap pengisytiharan itu semasa mesyuarat Kabinet dan dilihat menggalakkan Menteri Dalam Negeri ketika itu Lee Sang Min untuk melaksanakan arahan Yoon bagi memutuskan bekalan elektrik dan air kepada agensi media yang mengkritik pentadbiran, katanya.
“Sebagai seorang perdana menteri, tertuduh mempunyai kewajipan yang diberikan secara tidak langsung melalui legitimasi demokratik untuk mematuhi Perlembagaan dan undang-undang serta berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan dan mempertahankan Perlembagaan,” kata hakim semasa prosiding hukuman yang disiarkan secara langsung.
“Namun, beliau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawab ini sehingga akhir, kerana menyangka pemberontakan pada 3 Dis itu mungkin berjaya, dan memilih untuk mengambil bahagian sebagai anggota,” tambahnya.
Han merupakan anggota pertama Kabinet Yoon yang dijatuhi hukuman berkaitan dekri undang-undang tentera berkenaan, yang ditarik balik selepas enam jam susulan undian oleh Perhimpunan Kebangsaan.
Mahkamah juga mendapati Han bersalah menandatangani proklamasi yang disemak semula selepas dekri itu ditarik balik dalam usaha mengukuhkan kesahihannya, kemudian membuangnya serta berbohong di bawah sumpah di Mahkamah Perlembagaan.
Bekas perdana menteri itu menafikan dakwaan tersebut, dengan berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan awal mengenai rancangan undang-undang tentera itu selain daripada pengisytiharan berkenaan, dan tidak pernah bersetuju atau membantunya.
Keputusan itu dijangka memberi kesan terhadap perbicaraan Yoon sendiri atas pertuduhan mengetuai pemberontakan melalui dekri undang-undang tentera.
Perbicaraan itu selesai minggu lalu, dengan pasukan pendakwaan khas menuntut hukuman mati dan keputusan dijangka diumumkan pada 19 Feb.
Di bawah Perlembagaan Korea Selatan, pemberontakan ditakrifkan sebagai tindakan bertujuan menyingkirkan kuasa negara di sebahagian atau seluruh negara atau melancarkan rusuhan dengan tujuan menggugat Perlembagaan.
Lee berkata “pemberontakan” Yoon bersamaan dengan “rampasan kuasa sendiri”.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial