AM

KDN Selesai Lebih 12,000 Permohonan Dokumen Pengenalan Diri Penduduk Pedalaman Sarawak

21/01/2026 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyelesaikan 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri bagi penduduk pedalaman Sarawak menerusi Pasukan Petugas Khas (PPK), yang ditubuhkan bagi menangani isu ketiadaan dokumen rasmi dalam kalangan rakyat negeri itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 13,224 permohonan yang dikumpulkan PPK sejak Julai 2023, manakala baki 715 permohonan sedang dalam proses untuk diselesaikan sepenuhnya.

Beliau menjelaskan, walaupun Malaysia merupakan negara maju dan membangun, masih terdapat penduduk yang tidak memiliki sijil kelahiran atau MyKad, sekali gus menyukarkan kehidupan mereka, termasuk dari segi akses kepada pendidikan dan rawatan kesihatan.

“Pegawai tidak tunggu di pejabat. Pegawai pergi ke rumah panjang, mencari orang yang tidak ada dokumen.

“Kalau ini berlaku (tanpa dokumen pengenalan diri), kehidupan mereka jadi payah. Nak sekolah susah, sakit demam nak pergi hospital belanja mahal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai status terkini pengeluaran dokumen bagi individu stateless di pedalaman Sarawak, serta sama ada proses berkenaan dipermudahkan berikutan cabaran geografi negeri itu.

Saifuddin Nasution menjelaskan pasukan itu diletakkan sepenuhnya di bawah Jabatan Premier Sarawak, dengan sokongan KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

Beliau berkata, di bawah peruntukan sedia ada, kelahiran perlu didaftarkan dalam tempoh 40 hari di Sarawak dan Sabah, serta 60 hari di Semenanjung, namun faktor geografi menyebabkan ramai penduduk pedalaman gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Saifuddin Nasution menegaskan proses permohonan di bawah PPK tidak lagi terikat dengan birokrasi Putrajaya seperti amalan biasa.

“Kalau birokrasi biasa, mereka yang tidak ada dokumen perlu membawa anak ke pejabat dan pegawai menunggu di situ. Dalam prosedur baharu, kita pergi mencari mereka,” katanya.

Berita lanjut menyusul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan