JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai Imigresen Terlibat Dalam 'Pasport Terbang', Syor Tindakan Tatatertib - EAIC

19/01/2026 12:21 PM

PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan berlaku salah laku membabitkan seorang pegawai imigresen dalam aktiviti ‘pasport terbang’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 2 Jun tahun lepas.

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan mendapati pegawai berkenaan telah memasukkan butiran maklumat seorang penumpang yang masuk ke Malaysia, termasuk maklumat pasport, ke dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran fizikal penumpang tersebut di kaunter pemeriksaan semasa urusan dijalankan.

Menurut EAIC, tindakan pegawai itu didapati tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam Sistem Pengurusan Kualiti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta melanggar garis panduan PK(0)IM.H.03-02 yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen.

“Tindakan berkenaan merupakan suatu salah laku di bawah perenggan 24(1)(f) Akta 700,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, EAIC telah merujuk pegawai terbabit kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM dengan syor supaya tindakan diambil terhadapnya atas kesalahan tatatertib di bawah perenggan 4(2)(f) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 kerana berkelakuan tidak jujur dan tidak amanah.

EAIC turut mengesyorkan tindakan di bawah perenggan 4(2)(g) peraturan sama, iaitu berkelakuan tidak bertanggungjawab.

‘Pasport terbang’ merujuk kepada situasi apabila pasport warga asing diluluskan atau dilepasi oleh pegawai imigresen tanpa kehadiran pemilik pasport di pusat pemeriksaan imigresen.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan