Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- MCE Holdings Bhd, pengeluar komponen automotif tradisional pada hari ini telah menggubah dirinya kepada syarikat yang lebih dipacu teknologi, mencerminkan peralihan yang lebih berfokus ke arah kenderaan pintar dan lebih terhubung.
Pengarah Urusan Kumpulan Dr Goh Kar Chun berkata MCE berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam menyokong industri automotif Malaysia dan serantau, pembuat kereta nasional, pelanggan serantau dan antarabangsa.
Kumpulan itu bekerjasama rapat dengan Proton Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), sebagai tambahan kepada rakan kongsi antarabangsa bagi mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan sistem elektronik automotif yang semakin kritikal kepada kenderaan moden.
Ini merangkumi sistem peningkatan kefungsian kenderaan, terhubung dan pengalaman pengguna, seperti sistem maklumat hibur, penyelesaian kokpit pintar dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), katanya.
"Dengan kemajuan dalam teknologi automotif dan peralihan ke arah mobiliti generasi akan datang, MCE menyokong pembuat kereta dalam usaha penyetempatan mereka di Malaysia dan ini menyebabkan kedudukan kami meningkat di sepanjang rantaian nilai, bergerak melangkaui pemasangan asas kepada pembuatan bernilai lebih tinggi.
"Ini seterusnya disokong oleh penyelidikan dan pembangunan dalaman (R&D), kejuruteraan dan keupayaan penyepaduan sistem kami," katanya kepada Bernama.
Keupayaan MCE Diperkembangkan Melalui Rakan Kongsi Global
Goh menekankan bahawa usaha sama MCE adalah komponen paling penting tentang bagaimana kumpulan itu boleh membina keupayaan selain mengembangkan peranannya dalam rantaian nilai elektronik automotif.
Syarikat itu telah bekerjasama dengan rakan Tahap 1 dan teknologi antarabangsa melalui usaha sama yang mantap serta kerjasama strategik, termasuk dengan syarikat terkemuka dalam teknologi penderia radar gelombang milimeter, yang amat penting untuk ADAS dan aplikasi kenderaan generasi akan datang.
“Pada masa yang sama, kami juga telah menubuhkan usaha sama dalam pembuatan bukan automotif dengan rakan kongsi antarabangsa dari Hong Kong, yang mana keupayaan elektronik dan mekatronik kami boleh dipindah milik.
“Kerjasama ini membolehkan kami mempercepatkan pembinaan keupayaan, menyediakan akses lebih pantas kepada pasaran baharu dan menyokong pemindahan teknologi, manakala inisiatif bukan automotif tertentu membantu mengukuhkan daya tahan MCE melalui kepelbagaian portfolio di luar sektor automotif,” katanya.
Penyetempatan sebenarnya bukan setakat pemasangan secara tempatan. Ia memerlukan pembinaan keupayaan kejuruteraan, reka bentuk dan penyepaduan sistem tempatan supaya lebih banyak nilai dapat diwujudkan di Malaysia, selaras dengan objektif Dasar Automotif Negara 2020 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Beliau berkata dengan mengukuhkan keupayaan kejuruteraan di dalam negara, MCE sedang menyokong usaha penyetempatan pembuat kereta merentasi program enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV), sambil menyumbang kepada rantaian bekalan automotif yang lebih berdaya tahan selain menyangga aspirasi Malaysia untuk menjadi hab automotif serantau,” katanya.
Portfolio Seimbang Merentasi Platform ICE dan EV
MCE kini membekalkan rangkaian sistem elektronik dan mekatronik automotif untuk Perodua QV-E yang baru dilancarkan, ini menandakan kemasukan pertama MCE ke dalam segmen EV.
Skop tersebut termasuk sistem intensif elektronik, kata Goh, sambil menambah bahawa pencapaian ini mencerminkan kemajuan strategi jangka panjang kumpulan untuk beralih ke arah penyelesaian elektronik dan mekatronik automotif yang lebih canggih.
Sama ada menyokong program ICE atau EV, tumpuan MCE difokuskan bagi membangunkan kejuruteraan dalaman yang kukuh, R&D dan keupayaan pembuatan bersepadu yang membolehkan mereka memacu seni bina kenderaan generasi akan datang.
Ditanya sama ada MCE turut mengintai projek-projek lain dalam segmen EV, Goh berkata kumpulan itu terbuka kepada peluang merentasi semua platform kenderaan, menumpukan pada kawasan yang mana mereka boleh memberikan penyelesaian yang lebih dipercayai, menjimatkan kos dan berkualiti.
Beliau berkata tumpuan kumpulan adalah pada projek yang mana, mereka boleh menambah nilai melalui reka bentuk dan kejuruteraan, mengutamakan program yang menyokong pertumbuhan jangka panjang yang mampan sambil mengekalkan portfolio yang seimbang merentas platform kenderaan yang berbeza.
Dasar Yang Menyokong, Kestabilan Volum Pacu Prospek Sektor Automotif
Goh berkata prospek industri automotif Malaysia kekal menggalakkan, disokong oleh jumlah volum industri yang stabil dan hala tuju dasar yang digariskan dalam Belanjawan 2026.
Beliau berkata langkah seperti penghapusan pengecualian duti import ke atas EV import sepenuhnya (CBU), di samping insentif untuk merangsang pembelian kereta baharu, dijangka menyokong permintaan, khususnya bagi jenama nasional yang menjadi tulang belakang pasaran domestik.
"Kami berada pada kedudukan terbaik bagi menyokong peralihan ini melalui pelaburan berterusan kami dalam kejuruteraan, R&D serta keupayaan pembuatan, sambil bekerja rapat dengan pembuat kereta nasional dan antarabangsa.
"Kesimpulannya, apabila industri semakin kukuh dan menyetempat lagi, MCE akan berkembang seiring dengannya," kata beliau lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial