AM

Suami Rayu Usaha Diplomatik Segera Cari Nadia Kesuma

17/01/2026 02:09 PM

KEPALA BATAS, 17 Jan (Bernama) -- Suami kepada pelakon Nadia Kesuma merayu agar kerajaan Malaysia campur tangan dan menggerakkan usaha diplomatik bagi menjejaki isterinya yang dilaporkan hilang ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi sejak Khamis lepas.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata masa ialah faktor amat penting dalam situasi ini dan tindakan segera perlu diambil untuk mengesan keberadaan isterinya yang hingga kini masih tiada khabar berita.

“Saya cuma mahu dia pulang ke rumah dengan selamat dan setiap minit sangat bermakna buat kami. Jika menteri atau kerajaan terlibat secara langsung, prosesnya boleh dipercepat.

“Mungkin apa yang saya lakukan mengambil masa dua, tiga hari, tetapi jika kerajaan Malaysia dapat menghubungi rakan sejawat di Arab Saudi, mungkin hanya mengambil masa beberapa minit. Saya tidak mahu memikirkan sebarang situasi buruk terhadap Nadia, tetapi keadaan ketika ini memerlukan tindakan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Bertam Putra, di sini.

Beliau berkata laporan kehilangan isterinya telah dibuat kepada Wisma Putra, manakala Konsulat Malaysia di Jeddah sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mengesan wanita berkenaan.

Muhammad Kamarul berkata isterinya, yang nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, menyertai pakej Umrah–London–Paris anjuran Nuh Travel & Tours Sdn Bhd bersama-sama 21 jemaah lain dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.48 pagi, Selasa lepas.

Katanya, Nadia sempat menghantar gambar tempat duduknya di dalam pesawat dan memaklumkan telah selamat tiba di Jeddah kira-kira 4 pagi waktu tempatan, yang menjadi komunikasi terakhir daripadanya.

“Selepas itu, pihak agensi memaklumkan Nadia tidak menaiki penerbangan sambungan ke London. Pada mulanya saya fikir mungkin dia tertinggal penerbangan, tetapi keadaan menjadi membimbangkan apabila panggilan dan mesej tidak dijawab walaupun telefon masih aktif,” katanya.

Beliau berkata hasil penjejakan lokasi mendapati telefon bimbit isterinya masih berada di dalam kawasan lapangan terbang, namun pihak berkuasa memaklumkan Nadia dipercayai telah keluar dari terminal tanpa membawa telefon berkenaan.

“Dia tidak pernah berpisah dengan telefonnya, jadi saya pelik apabila dimaklumkan dia keluar tanpa telefon. Malah, kedua-dua beg daftar masuknya juga tidak dituntut dari tali sawat bagasi,” katanya.

Menurutnya, beliau bersedia pada bila-bila masa untuk terbang ke Jeddah jika diperlukan, namun buat masa ini dinasihatkan agar menunggu perkembangan lanjut daripada pihak konsulat.

“Mereka memaklumkan walaupun saya ke sana sekarang, belum ada apa-apa yang boleh dilakukan kerana masih tiada perkembangan konkrit. Jadi, lebih baik saya berada di sini supaya tidak mengganggu siasatan, namun saya sedia pergi pada bila-bila masa,” katanya.

Bercerita mengenai isterinya, Muhammad Kamarul berkata Nadia memang gemar mengembara dan sentiasa memaklumkan pergerakannya kepada keluarga, terutama anak-anak setiap kali tiba di sesuatu destinasi.

Katanya, tahun lepas Nadia juga pernah menunaikan umrah bersama dengan rakan-rakan karibnya dan tidak pernah timbul sebarang masalah, namun kali ini keadaannya sangat luar biasa dan membimbangkan mereka sekeluarga.

Beliau berkata mereka mempunyai tiga cahaya mata berusia 11, 13 dan 15 tahun, manakala Nadia turut memiliki seorang anak perempuan berusia 25 tahun hasil perkahwinan terdahulu, dan kesemua anaknya kini berada dalam keadaan sedih serta berharap ibu mereka dapat ditemukan segera.

Terdahulu, media melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Jeddah, perkara yang dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) Anne Abdullah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan