JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Tumpaskan Cubaan Seludup Gula, Minyak Masak Di Pangkalan Haram

13/01/2026 11:27 PM

KOTA BHARU, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan barang kawalan melibatkan minyak masak bersubsidi dan gula yang didalangi peruncit berlesen di pangkalan haram Lan Bundle, Pasir Mas berhampiran sempadan Malaysia–Thailand hari ini.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata operasi dijalankan pada 2 petang tadi hasil maklumat awam yang melaporkan aktiviti pemindahan barang kawalan secara mencurigakan dan berulang kali di kawasan berkenaan.

"Bertindak atas maklumat itu, penguat kuasa KPDN bersama-sama anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menjalankan risikan selama empat hari dan mendapati empat kenderaan jenis Proton Waja digunakan dalam kegiatan terbabit.

"Risikan juga mendapati penyeludup memunggah minyak masak dan gula dalam kuantiti yang banyak sebelum dibawa ke pangkalan haram dikenali ‘Lan Bundle’. Bekalan itu kemudian dipindahkan ke dalam perahu untuk dibawa ke sempadan menyeberangi Sungai Golok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Aswadi berkata ketika serbuan dilakukan, sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki cuba melarikan diri, namun kenderaan itu mengalami masalah teknikal sebelum suspek terjun ke Sungai Golok dan berjaya meloloskan diri.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan 96 kilogram (kg) gula dan 510 kg minyak masak bersubsidi.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan bagi tujuan melakukan kesalahan serta memindahkan barang kawalan ke tempat yang tidak dilesenkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan