KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengumumkan penubuhan sebuah organisasi di luar lingkungan politik pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Sabtu ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata penubuhan organisasi berkenaan adalah cadangan beliau sendiri.
“Kabinet juga telah meluluskan dan saya akan umumkan pada hari terakhir PAU,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Panelis pada sesi perbincangan ilmiah sempena perhimpunan itu terdiri daripada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Abdul Manan Ismail.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk menjemput ulama dan wakil parti politik lain termasuk PAS ke Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia pada masa akan datang.
“Ini kali pertama dianjurkan sejak saya ambil alih pada 2018 dan kerjasama strategik dengan Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia adalah sesuatu usaha untuk kita mengetepikan soal ideologi politik.
“Apabila bercakap tentang soal agama, kita mesti melakukan penyatuan fikrah dan pemikiran atau tindakan ini yang kita lakukan. Kita berhasrat untuk terbuka melakukannya,” katanya.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata hubungan antara umara (pemerintah) dan ulama (ilmuan Islam) perlu seimbang bagi memastikan pentadbiran negara dapat dilaksanakan berteraskan amanah, ilmu, hikmah dan kebijaksanaan.
Beliau berkata pertemuan dan perbincangan antara umara dan ulama penting bagi memahami antara realiti pentadbiran semasa dengan tuntutan agama agar keputusan yang dibuat tidak berasaskan emosi atau kepentingan politik sempit.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata realiti semasa umat Islam dilihat kian lantang bersuara tetapi semakin berkurang hikmah dan adab, termasuk kecenderungan mempolitikkan agama sehingga mencetuskan perpecahan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau menganggap kenyataan bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa PAS akan terbubar sekiranya UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam perlembagaannya, sebagai satu wasiat.
“Apabila almarhum Tok Guru Nik Aziz menyebut perkara itu, saya anggap sebagai wasiat.
“Perkara pertama yang saya lakukan selepas mengambil alih kepimpinan UMNO ialah meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan UMNO tetapi PAS belum terbubar lagi, saya anggap (PAS) akan terbubar dengan sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial