KOTA BHARU, 14 Jan (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan rokok seludup apabila merampas 126,400 batang rokok tidak berkastam dalam serbuan di Kampung Kelaboran, Tumpat semalam.
Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulafendy Hassan berkata serbuan pada kira-kira 2 petang itu oleh sepasukan pegawai dan anggota Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor adalah hasil risikan selama sebulan.
"Dalam serbuan di sebuah premis kediaman yang dijadikan stor penyimpanan tersebut, pasukan telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dan menemui sejumlah besar rokok tidak berkastam," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek memberi kerjasama penuh sepanjang pemeriksaan dijalankan dan telah ditahan bersama kesemua barang rampasan sebelum dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import sebagaimana diperuntukkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah RM255,842.40 dan kejayaan ini merupakan kes pertama melibatkan penyeludupan rokok yang ditumpaskan oleh PPM Wilayah Tiga bagi tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial