DUNIA

Gaza: Pemuda Palestin Kehilangan Pasangan Hidup Selepas Dua Hari Berkahwin

13/01/2026 03:26 PM

BANDARAYA GAZA/ISTANBUL, 13 Jan (Bernama-Anadolu) -- Kesunyian menyelubungi hidup Ahmed Abu Saada sejak beliau kehilangan insan yang dicintainya baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Hanya dua hari selepas perkahwinan mereka, isterinya Walaa Jahha meninggal dunia selepas khemah mereka dihempap runtuhan dinding dalam satu kejadian di Gaza.

Apa yang sepatutnya menjadi permulaan kehidupan bersama bertukar menjadi memori mengerikan, meninggalkan pemuda Palestin itu terperangkap dalam kesedihan, diselubungi oleh serpihan impian yang belum sempat terbina.

Ahmed, pemuda dalam lingkungan usia 20-an yang mempunyai masalah pendengaran, cuba membina semula hidupnya selepas serangan Israel yang memusnahkan Gaza, dengan mengharungi pemindahan paksa, kehilangan dan kesukaran. Beliau bertemu Walaa Jahha, dan bersama-sama mereka memilih untuk menghadapi keperitan hidup dengan harapan, merancang masa depan yang sederhana di dalam sebuah khemah, satu-satunya tempat perlindungan yang mereka ada.

Pada 27 Dis lalu, pasangan itu mengadakan majlis perkahwinan ringkas di tengah-tengah krisis pemindahan paksa. Selepas keluarga Ahmed melarikan diri dari kejiranan Tuffah di timur Bandaraya Gaza selepas rumah mereka musnah akibat pengeboman Israel, pasangan pengantin baharu itu mendirikan khemah berhampiran bangunan rosak di sepanjang pesisir pantai bandar itu.

Dua hari kemudian, kegembiraan mereka yang rapuh itu berkecai.

Ribut musim sejuk yang kuat melanda Gaza, membawa angin kencang dan hujan lebat. Dinding sebuah bangunan yang separa musnah akibat serangan Israel sebelum ini runtuh dan menghempap khemah pasangan itu. Walaa meninggal dunia di tempat kejadian.

Sejak malam itu, Ahmed menghabiskan hari-harinya dengan menyendiri dan berdiam diri, menatal telefonnya sambil melihat gambar-gambar perkahwinan yang hanya bertahan selama beberapa jam yang kini bertukar menjadi sumber kesakitan yang tidak tertanggung, kata bapanya kepada Anadolu.

“Ahmed cuba mengatasi masalah pendengarannya dan hidup seperti pemuda lain.

“Tetapi beliau berdepan tragedi yang jauh lebih besar. Beliau mengalami kejutan psikologi yang mendalam dan tidak lagi mampu berinteraksi seperti dahulu,” kata bapanya, Saad al-Din Abu Saada.

Bapanya berkata anaknya kini semakin memencilkan diri, menghabiskan sebahagian besar masa berbaring dalam diam di atas katilnya, pada tilam sama yang masih mempunyai kesan darah isterinya.

 

Hidup dalam bahaya

 

Keluarga Ahmed berkata mereka tidak mempunyai pilihan selain mendirikan khemah pasangan pengantin baharu itu berhampiran bangunan yang rosak dan tidak stabil, berikutan ketiadaan alternatif perumahan yang selamat selepas kemusnahan meluas di seluruh Gaza.

Laporan tempatan menunjukkan beribu-ribu tan sisa runtuhan akibat pengeboman Israel masih bertaburan di kawasan kediaman, menimbulkan risiko struktur yang serius dan meningkatkan kemungkinan runtuhan secara tiba-tiba.

Sejak Disember, puluhan bangunan yang sebelumnya rosak akibat serangan udara Israel runtuh dalam keadaan musim sejuk yang teruk, mengorbankan dan mencederakan rakyat Palestin yang berlindung berhampiran.

Bapa Ahmed merayu kepada masyarakat antarabangsa dan nurani kemanusiaan agar melihat penduduk Gaza dengan belas kasihan, sambil menggesa tindakan diambil bagi menyediakan perlindungan yang selamat, maruah dan perlindungan kepada keluarga yang telah kehilangan segalanya.

Menurut angka terbaharu, lebih 18 rakyat Palestin maut akibat runtuhan sekurang-kurangnya 50 bangunan yang rosak semasa ribut baru-baru ini.

Dengan Israel terus menghalang kemasukan rumah bergerak dan bahan binaan, ramai rakyat Palestin tiada pilihan selain tinggal berhampiran atau di dalam struktur bangunan yang hampir runtuh.

Bagi Ahmed, biarpun khemah itu masih kekal, dinding yang runtuh itu telah menjadikan kasih sayang mereka yang singkat dan rapuh sebagai satu lagi korban dalam bayang-bayang peperangan yang panjang.

Tentera Israel telah membunuh lebih 71,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain dalam serangan kejam sejak Oktober 2023 yang menyebabkan wilayah itu musnah.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan