AM

Koleksi Rangka Guar Kepah Diserah Secara Rasmi Kepada Pulau Pinang

13/01/2026 05:58 PM

GEORGE TOWN, 13 Jan (Bernama) -- Khazanah warisan negara, Koleksi Rangka Guar Kepah termasuk kotak asal penyimpanan yang dibawa pulang dari Belanda pada 30 Ogos tahun lepas, akhirnya diserahkan secara rasmi kepada Pulau Pinang bagi penempatan dan pemuliharaan.

Detik itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Zulkifli Long bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Mohamed Abdul Rahman mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang, manakala kerajaan Persekutuan diwakili Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Muhamad Muda Bahadin serta timbalannya Ruzairy Arbi.

Pemeteraian itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Zulkifli berkata kerjasama erat antara MOTAC, Jabatan Warisan Negara Kedutaan Besar Malaysia di Belanda, kerajaan Belanda dan agensi lain berkaitan telah berjaya membawa pulang 41 bahagian rangka manusia yang sebelum ini tersimpan di Collection Centre Netherlands (CCNL) Amersfoort, Belanda.

Beliau berkata inisiatif itu, langkah penting dalam usaha pemuliharaan Tapak Arkeologi Guar Kepah yang diiktiraf antara tapak prasejarah terpenting di negara ini, selain mencerminkan komitmen erat antara Pulau Pinang dengan Persekutuan untuk memelihara warisan arkeologi negara untuk manfaat generasi akan datang.

“Penempatan koleksi rangka ini akan dilaksanakan di Galeri Arkeologi Guar Kepah yang telah siap dilengkapi dengan kemudahan konservasi dan penyimpanan mengikut piawaian pemuliharaan warisan yang direalisasikan dengan sokongan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA).

“Galeri yang akan dibuka kepada umum pada suku pertama tahun ini dengan mengambil kira fasa pemindahan rangka dan artifak berkenaan, akan memberi impak positif bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga ahli akademik, penyelidik serta industri pelancongan,” katanya.

Zulkifli berkata rangka yang diserahkan hari ini akan ditempatkan sementara di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tujuan penyelidikan dan konservasi sebelum dipamerkan di Galeri Arkeologi Guar Kepah.

Rangka Guar Kepah ialah khazanah arkeologi amat bernilai kerana ia memberikan gambaran penting tentang kehidupan masyarakat prasejarah di rantau ini.

Justeru, beliau berharap pemeteraian MoU akan dapat memperkukuh lagi kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kerajaan Persekutuan serta institusi akademik bagi memastikan penyelidikan, konservasi dan pemuliharaan koleksi itu dilaksanakan secara profesional serta berterusan.

Sementara itu, Shaharuddin berkata Galeri Arkeologi Guar Kepah diyakini berpotensi menjadi produk arkeopelancongan utama negara dengan kembalinya koleksi rangka berkenaan ke lokasi asal ia diekskavasi lebih lapan dekad lepas.

Terletak di Penaga Seberang Perai Utara (SPU), pembukaan Galeri Arkeologi Guar Kepah dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Jan ini.

-- BERNAMA   

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan