EKONOMI

IPO : Semico Capital Catat Premium 80 Peratus, Kumpul Modal RM23.2 Juta

13/01/2026 12:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) --  Semico Capital Bhd mencatat kemunculan sulung yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini dengan harga pembukaan 45 sen, sekali gus mencapai premium 80 peratus berbanding harga tawaran permulaan awam (IPO) pada 25 sen sesaham.

Sebanyak 23.47 juta saham syarikat pembekal mesin arked dan pengedar mainan serta barangan koleksi itu diniagakan pada pembukaan dagangan dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM23.2 juta.

IPO syarikat itu turut menyaksikan lebihan langganan sebanyak 28.1 kali, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap operasi perniagaan dan prospek Semico, demikian menurut kenyataan syarikat berkenaan hari ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tai Lee Chuen berkata industri hiburan keluarga terus mendapat manfaat daripada perubahan gaya hidup pengguna selain penekanan terhadap pengalaman riadah bersama.

“Sehubungan itu, kami berhasrat mengembangkan lagi jumlah mesin arked dan hiburan dengan hasilnya diperuntukkan untuk pembelian 188 mesin baharu dan penggantian 55 mesin sebagai pelengkap sedia ada sebanyak 650 mesin di seluruh negara.

“Kami akan turut mengembangkan portfolio mainan dan barangan koleksi kami dengan memperkenalkan produk baharu, reka bentuk serta karakter harta intelek popular yang dapat mengukuhkan penglibatan pelanggan dan memastikan Semico terus menyediakan produk relevan serta mendapat permintaan dalam pasaran yang berkembang,” katanya.

Daripada hasil IPO itu, Semico memperuntukkan masing-masing sebanyak RM8.5 RM8.5 juta bagi tujuan pengembangan perniagaan melalui mesin arked dan hiburan baharu, RM2.1 juta untuk penggantian mesin sedia ada, RM2.5 juta bagi mainan dan barangan koleksi, RM1.6 juta untuk membayar balik pinjaman bank manakala RM4.0 juta bagi modal kerja.

Baki RM4.5 juta akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian berkenaan.

Affin Hwang Investment Bank Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal IPO itu.

Pada jam 11.05 pagi ini, Semico muncul antara kaunter paling aktif dengan menokok 22 sen kepada 47 sen dan menyaksikan 93.42 juta saham saling berpindah tangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan