KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Universiti di negara ini memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam membantu penyelidikan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI), tadbir urus dan pencegahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata SPRM memberi fokus kepada bidang teknologi AI kerana ia dapat membantu membangunkan modal insan dalam bidang seperti forensik digital, analitik data dan etika teknologi.
“Melihat kepada keperluan pada masa kini, SPRM perlu mendapatkan kepakaran daripada universiti dalam dan luar negara bagi meningkatkan keberkesanan usaha antirasuah.
“Usaha ini tidak akan berjaya tanpa pelaburan berterusan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan teknologi selain meningkatkan tahap kemahiran serta profesionalisme pegawai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu menurut kenyataan itu, Azam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Monash University Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM di sini, hari ini.
Beliau berkata menerusi MoU ini, SPRM akan memanfaatkan gabungan kekuatan pengalaman praktikal MACA SPRM dan kepakaran akademik universiti berkenaan bagi menghasilkan penyelesaian yang inovatif, realistik dan berimpak tinggi.
Azam berkata sebagai contoh, Monash University Malaysia boleh membantu SPRM menambah baik sistem sedia ada dalam menyelesaikan kes yang kompleks ketika ini, sekali gus tempoh siasatan sesuatu kes dapat diselesaikan dengan cepat dan mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Selain itu, SPRM berharap dapat memperoleh geran bagi pembangunan teknologi AI menerusi kerjasama yang dimeterai antara MACA SPRM dan Monash University Malaysia,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia Prof Emeritus Datuk Adeeba Kamarulzaman berkata kerjasama itu dapat memberikan akses langsung kepada barisan hadapan serta mewujudkan satu platform kukuh untuk menterjemahkan kepakaran akademik kepada hasil praktikal yang relevan di peringkat nasional.
“Kerjasama ini juga memberi peluang untuk menjalankan projek penyelidikan gunaan, dasar, latihan, serta pengukuhan institusi, khususnya membabitkan Pusat Pengajian Undang-Undang Komersial dan Kajian Kawal Selia, Monash University Malaysia,” katanya.
Turut hadir Pengarah Kanan MACA SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM Datuk Idris Zaharudin, Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM Datuk Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM Datuk Rasidah Abdul Karim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial