AM

Gayung, "Timbouk" Tadah Air Hujan, Penduduk Kinarut Mohon Penyelesaian Isu Air

12/01/2026 06:51 PM

PAPAR, 12 Jan (Bernama) -- Sebuah gayung diikat pada sebatang kayu nampak seperti biasa, namun bagi Jainis Ladzim, 48, alat itu penting untuk dia menadah air hujan di kediamannya di Rumah Pangsa Kinarut, di sini susulan masalah bekalan air yang melanda kawasan itu sejak akhir tahun lepas.

“Kita hulur (alat itu) dari balkoni rumah, kumpul air kemudian kita masukkan ke dalam ‘timbouk’ (timba), kita duduk tingkat atas mudah kumpul air begini, dari depan rumah sahaja. Kami terpaksa buat begini kerana tiada sumber air yang mencukupi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan itu tidak keseorangan kerana video aksi penduduk di Rumah Pangsa Kinarut yang beramai-ramai menadah air hujan menggunakan gayung yang diikat pada kayu itu tular dalam media sosial, menimbulkan simpati daripada warga siber.

Menurut Jainis, dia dan penduduk memilih untuk berbuat demikian kerana bekalan air yang hampir tiada, malah catuan bekalan yang dibuat tidak mengikut jadual menyebabkan penduduk sukar menyimpan air untuk keperluan harian mereka.

“Isu ini bukan perkara baharu, sudah lama Kinarut ada masalah bekalan air sehingga terpaksa dicatu. Kami tidak mahu penyelesaian sementara hantar lori air sahaja, kami mohon supaya ada penyelesaian kekal supaya sekurang-kurangnya anak-anak kami tidak rasa kesusahan seperti ini,” kata bapa kepada empat anak itu.

Jamiliah Ampau, 37, seorang suri rumah di Taman Limauan, di sini pula berkata dia dan penduduk di kawasan itu menyusun "timbouk" di kawasan rumah untuk menadah air hujan bagi bekalan harian mereka.

"Kalau hujan lebat dan lama dapatlah isi tong 32 gelen, dapat digunakan untuk satu atau dua hari bagi satu keluarga, tetapi perlu berjimat cermat," kata ibu kepada lima anak itu.

Kawasannya turut menerima bantuan air daripada lori tangki, namun penduduk berharap pihak berwajib dapat menaik taraf infrastruktur perpaipan atau sistem loji supaya dapat menampung keperluan penduduk yang semakin ramai di Kinarut.

Seorang pemimpin masyarakat di Pekan Kinarut Ab Razali Ab Amit, 56, pula memasang sistem perpaipan di hujung bumbung rumahnya terus ke tangki simpanan air yang memudahkannya menadah air hujan.

"Perlu juga letak penapis, walaupun air hujan masih tidak sesuai diminum, hanya untuk kegunaan mandi atau basuh pinggan dan mangkuk. Kami terpaksa membeli air botol minuman di kedai," katanya.

Melihat sendiri kesukaran penduduk sehingga terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian berikutan terputus bekalan sejak 16 hari lepas, Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata tumpuan beliau kini adalah untuk mencari ikhtiar menangani masalah bekalan air di kawasan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata langkah pertama melibatkan penyambungan silang rangkaian paip dari tangki utama Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon terus ke tangki utama Kawang bagi membolehkan air terawat disalurkan terus tanpa melalui rangkaian paip jauh, dengan kerja fizikal dimulakan pada Jumaat lepas.

Beliau berkata langkah kedua ialah meningkatkan kapasiti pemprosesan LRA Kogopon 1 melebihi kapasiti maksimum semasa 40 juta liter sehari (JLH), menerusi penggantian tiga pam rawatan air sebagai langkah interim sementara menunggu projek LRA Kogopon 2 siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.

"Garis masa yang disasarkan untuk melaksanakan langkah ini ialah dua minggu, malah kerajaan negeri turut komited memantau sendiri pelaksanaan kerja berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata penghantaran bekalan air melalui lori tangki diteruskan secara harian dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Air Negeri Sabah, Jetama Sdn Bhd dan pihak berkuasa tempatan ke kawasan kritikal sehingga bekalan kembali pulih dan stabil.

Antara lokasi tumpuan penghantaran air ialah Tangki Mobile Taman Limauan, Kampung Madang, Taman Kinarut Selatan, Rumah Pangsa Kinarut, Taman Kinarut Ria, Taman Seri Anak, Taman Segindai, Taman LA Gloxinia dan Taman PR1MA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan