AM

MBPP Lupus Dan Tangkap 17,750 Gagak, 10,171 Merpati Tahun Lepas

03/01/2026 02:56 PM

GEORGE TOWN, 3 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melupuskan 17,750 gagak dan menangkap 10,171 merpati sepanjang tahun lepas dalam usaha berterusan memastikan kawasan persekitaran yang bersih, sihat dan bebas daripada najis haiwan tersebut.

MBPP memaklumkan operasi kawalan populasi gagak dan merpati giat dilaksanakan setiap bulan menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran agensi itu dengan kerjasama Kelab Menembak Pulau Pinang dan persatuan lain yang berkaitan.

"Tahun lepas 17,750 gagak dilupuskan berbanding 23,336 pada 2024. Selain kaedah menembak yang dibenarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sarang burung tersebut juga telah dimusnahkan di kawasan yang dikenal pasti sebagai “hotspot” pembiakkan.

"Walaupun populasi gagak berkurangan pada tahun lepas berbanding 2024, jumlahnya boleh meningkat dengan cepat sekiranya tabiat tidak bertanggungjawab segelintir orang awam berterusan seperti membuang sisa makanan di tempat awam tanpa dimasukkan ke dalam tong sampah atau tidak menutup tong sampah dengan sempurna," menurut MBPP menerusi hantaran di Facebook hari ini.

MBPP turut memaklumkan pihaknya berjaya menangkap 9,585 merpati pada 2024 dan jumlah tangkapan itu meningkat kepada 10,171 sepanjang bagi tahun lepas.

Menurut MBPP antara cabaran dihadapi dalam mengawal peningkatan populasi merpati  ialah tindakan orang awam yang masih memberi makan makanan kepada burung tersebut. 

“Tindakan penguatkuasaan telah dimulakan pada Mac tahun lepas untuk mengekang aktiviti memberi makan merpati dengan 55 notis kompaun telah dikeluarkan mengikut Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan dan tindakan mahkamah sekiranya individu tersebut masih ingkar serta bagi pesalah yang tidak membayar kompaun untuk kesalahan ini," menurutnya.

MBPP memaklumkan usaha mengekang populasi gagak dan merpati bukan sahaja melibatkan tindakan kawalan secara fizikal tetapi juga hebahan kepada orang awam menerusi media sosial rasmi serta papan tanda larangan di sekitar kawasan yang dikenal pasti.

Selain itu, pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) turut dilaksanakan serta menyusun atur tindakan pemantauan dan operasi kawalan populasi gagak dan merpati setiap hari mengikut lokasi yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan