SUKAN

Gol Danial Amier Bantu Kuching City Tewaskan Kelantan TRW 1-0

02/01/2026 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Gol tunggal pemain tengah Muhammad Danial Amier Norhisham sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 Kuching City FC ke atas Kelantan The Real Warriors FC pada aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Tiga mata dikutip itu melebarkan rekod tanpa kalah Kuching City bimbingan Aidil Sharin Ishak kepada lima perlawanan, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dalam perebutan bersama Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Pada pertembungan malam ini, Muhammad Danial atau lebih dikenali sebagai Daniel Amier menyumbat gol kemenangan pasukan pada minit ke-20 hasil rembatan dari jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol Damyanov Damyan Valeriy.

Pasukan tuan rumah memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun rembatan Albert Sang dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Kuching City Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke-60 sebelum kedudukan kekal hingga wisel penamat.

Selepas 13 perlawanan, Kuching City mengumpul 28 mata manakala Selangor dan KL City masing-masing mengutip 25 mata di tempat ketiga dan keempat dengan satu perlawanan dalam tangan, sementara Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal mendahului saingan dengan 36 mata selepas 12 perlawanan.

Kuching City yang mencatat tiga kemenangan dan dua seri dalam lima aksi terakhir akan bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 13 Jan, sekali gus berpeluang menebus kekalahan 0-1 pada aksi di Kuching, Ogos lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan