JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Tahan Dua Bot Penumpang Bawa Lebihan Muatan Di Perairan Pelabuhan Klang

02/01/2026 08:48 PM

SHAH ALAM, 2 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan dua bot penumpang didapati membawa lebihan muatan menerusi satu operasi rondaan keselamatan di perairan Pelabuhan Klang petang semalam.

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kedua-dua bot berkenaan ditahan sekitar 5.30 dan 5.50 petang di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat Pelabuhan Klang.

“Penahanan itu dibuat menggunakan aset ronda APMM ketika melaksanakan rondaan rutin bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna perairan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati setiap bot dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru membabitkan keseluruhan tiga lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya warga tempatan berusia antara 20 hingga 39 tahun,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen operasi.

Beliau berkata bot berkenaan masing-masing membawa 40 dan 42 penumpang melebihi jumlah maksimum yang dibenarkan syarat lesen iaitu 32 dan 34 orang.

“Lebihan muatan penumpang boleh menjejaskan kestabilan bot, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan serta mengancam keselamatan nyawa penumpang.

“Susulan itu, kedua-dua bot bersama kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan itu, Abdul Muhaimin menasihatkan pengusaha bot penumpang agar sentiasa mematuhi syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan sebelum menjalankan sebarang operasi di laut kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengingkari undang-undang demi memastikan keselamatan orang awam dan perairan negara sentiasa terpelihara.

Beliau turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa peka terhadap aspek keselamatan dan melaporkan sebarang aduan atau insiden kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi APMM Selangor di talian 013-660 6652 atau 999.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan