DUNIA

Lebih 40,000 Individu Jadi Mangsa Tembakan Di AS Pada 2025 - GVA

02/01/2026 06:58 PM

LOS ANGELES, 2 Jan (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya 40,000 individu menjadi mangsa tembakan di Amerika Syarikat (AS) pada 2025, mengakibatkan lebih 14,600 kematian dan lebih 26,100 kecederaan, menurut data awal yang dikeluarkan Gun Violence Archive (GVA) pada Khamis, lapor Xinhua.

AS merekodkan sekurang-kurangnya 407 insiden tembakan besar-besaran pada 2025, yang ditakrifkan sebagai kejadian melibatkan empat atau lebih mangsa terbunuh atau cedera, tidak termasuk penembak. GVA merupakan organisasi bukan berasas untung yang ditubuhkan pada 2013 bagi menyediakan akses awam terhadap maklumat tepat mengenai keganasan senjata api di negara itu.

Data itu turut menunjukkan 224 kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah terbunuh akibat tembakan, manakala 461 lagi dalam kumpulan umur sama mengalami kecederaan sepanjang tahun berkenaan. Selain itu, seramai 1,030 remaja berusia 12 hingga 17 tahun maut dalam kejadian tembakan, manakala 2,733 lagi cedera.

Statistik kematian berkaitan senjata api oleh GVA merangkumi kes bunuh, mempertahankan diri dan tembakan tidak sengaja, namun tidak termasuk kes bunuh diri.

Bagaimanapun, memetik anggaran awal daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, GVA melaporkan lebih 24,000 orang maut akibat membunuh diri menggunakan senjata api pada 2025.

Media tempatan melaporkan walaupun angka kematian dan kecederaan berkaitan tembakan menunjukkan penurunan selama empat tahun berturut-turut sejak 2021, jumlah mangsa keganasan senjata api pada 2025 masih melebihi 40,000 orang, tidak termasuk kes bunuh diri.

Ini bermakna secara purata, lebih 110 orang terbunuh atau cedera akibat keganasan senjata api setiap hari pada tahun lepas.

--BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan