SEREMBAN, 2 Jan (Bernama) -- Kebanyakan lokasi pelancongan di Negeri Sembilan terus dipenuhi pengunjung, khususnya sepanjang cuti persekolahan yang bermula pertengahan Disember lepas, selain bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.
Tinjauan Bernama di taman tema salji di Seremban dan pantai utama di Port Dickson mendapati lokasi berkenaan menjadi tumpuan dengan keluarga mengambil kesempatan membawa anak-anak, sekali gus bersama menyambut kemeriahan sambutan TMNS.
Pengunjung Saadatul Akmar Mohamad Saad, 43, dari Ampang, Selangor berkata beliau bersama 10 ahli keluarganya merancang untuk ke Seremban sejak sebulan lepas semata-mata mahu bermain 'salji' di taman tema berkenaan.
“Kami menghabiskan masa seharian di taman tema yang dikatakan terbesar di Malaysia ini kerana tertarik dengan suasana sejuk seolah-olah berada di luar negara. Nak ke luar negara main salji memang susah tetapi di sini dapat bermain salji puas-puas,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Pekerja swasta Mohammad Azlan Rahman, 47, bersama lima ahli keluarganya dari Johor Bahru pula berkata beliau bercuti ke Negeri Sembilan selama tiga hari dua malam dan sempat mengunjungi tempat menarik di daerah itu serta Kuala Pilah.
“Kawan-kawan kata kalau ke Negeri Sembilan tanpa menikmati masak lemak salai memang rugi, walaupun agak jauh tetapi kami puas hati dapat makan masakan tradisional Negeri Sembilan.
“Selain itu, kami turut berpeluang merasai suasana kampung di Kuala Pilah serta mengunjungi muzium istana Seri Menanti,” katanya, sambil menambah maklumat pelancongan negeri ini diperoleh melalui media sosial.
Pengunjung dari Melaka, Salwani Osman, 35, berkata dia dan dua rakannya memilih Teluk Kemang sebagai destinasi percutian singkat selama dua hari satu malam.
“Kami sudah lama merancang nak ke Teluk Kemang untuk berkelah dan mandi-manda, kali terakhir ke sini dua tahun lepas, sekarang keadaan lebih bersih, kemas dan cantik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata rekod tempahan bilik hotel di Negeri Sembilan, khususnya di Port Dickson meningkat antara 80 hingga 90 peratus sempena cuti sekolah.
Beliau berkata berdasarkan data diperoleh kebanyakan hotel bertaraf lima dan empat bintang di sekitar Port Dickson habis ditempah sejak Disember lepas hingga awal bulan ini.
“Peningkatan paling ketara semasa cuti Krismas dan sambutan ambang tahun baharu, boleh dikatakan semua hotel penuh.
“Kami berharap momentum seperti ini akan terus kekal memandangkan TMNS telah bermula dan pihak kami akan sentiasa memberi sokongan termasuk memberi tawaran diskaun istimewa di semua bilik hotel yang ditempah awal,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri Nicole Tan sebelum ini dilaporkan berkata lebih 25 juta pelancong disasarkan ke Negeri Sembilan pada tahun ini, dengan lebih 250 produk pelancongan ditawarkan kepada pengunjung termasuk pelancongan kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial