JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Didakwa Cederakan Ibu Bapa Guna Pedang Samurai

02/01/2026 01:55 PM

IPOH, 2 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan ibu bapanya dengan menggunakan pedang samurai sehingga parah, Disember lepas.

Muhammad Aiman Suhaimi, 30, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Aiman didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Suhaimi Dawi, 58, dan Shahaliza Ahmad Hashim, 58, dengan menggunakan pedang samurai di sebuah rumah di Bandar Baru Putra dalam daerah Kinta pada 6.30 pagi 26 Dis.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326/326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan atas sabitan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya M. Raveenaa tidak menawarkan jaminan dan memohon agar tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi pemeriksaan mental.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Jan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Dis, polis mengesahkan menahan seorang lelaki kerana mengamuk dan mencederakan dua ahli keluarganya di sebuah rumah di Bandar Baru Putra di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan